Sukan Hari Ini

Eagles beruntung kekal cergas

KEDAH Eagles mungkin pasukan yang paling beruntung apabila kembali menyambung saingan minggu keempat Liga Sepak Takraw (STL) 2016 mulai 4 November ini di Stadium MPSJ, Serdang Jaya.

Tanpa sebarang pemain kebangsaan yang bakal pulang daripada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-31 di Bangkok, pasukan utara itu pasti memiliki skuad paling bersedia sekali gus satu kelebihan besar.

Tujuh lagi pasukan mungkin berdepan isu kecederaan tonggak kebangsaan milik mereka yang mengharungi jadual padat semasa berada di Bangkok yang meliputi acara berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran.

Pendahulu carta mata kedudukan STL 2016, Terengganu Turtles memiliki Izurin Refin dan Azwan Muhrim manakala Penang Panthers dengan tonggak teramai, Syahir Rosdi, Kamal Ishak dan Suhairi Sulaiman.

Turut dikhuatiri pulang mengusung kecederaan dan kepenatan Norhaffizi Razak (Johor Tigris), Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors), Sahidan Md. Ali (Melaka Titans), Nazmi Najib dan Afifuddin Razali (ATM Guardians) serta Ahmad Nor Azmi (KL Thunder)

Eagles pada masa sama mungkin turut menerima kepulangan perejam yang dijangka beransur pulih daripada tercedera akibat kemalangan jalan raya, Ali Alhamidi Ayob dalam tempoh rehat dua minggu STL itu.

Pada minggu pertama STL yang bermula 30 September lalui, Ali dan seorang lagi apit kanan, Shahrol Nizam Romli yang tercedera buku lali ketika berjoging, terpaksa diketepikan buat seketika sehingga Eagles terpaksa memohon talian hayat daripada pihak penganjur.

Mereka kemudian dibenarkan untuk menamakan pelibas yang baharu, Fadzli Baharuddin di samping Faris Salleh tetapi perlu menggugurkan pengumpan atau apit kiri kedua daripada senarai, Mohd. Noor Shafri Ruslan.

Skuad bimbingan Shamshul Samsudin itu kini mengekori rapat Panthers dari tangga ketiga STL dengan kedua-duanya terikat enam mata namun hanya dipisahkan dengan perbezaan set menang dan set kalah, empat berbalas kosong.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");