Membawang Hari Ini

Elemen aksi, drama sinonim Cruise

Selepas filem pertamanya mencatat kejayaan yang cukup memberangsangkan, kini filem aksi lakonan aktor hebat, Tom Cruise kembali dengan sekuel kedua Jack Reacher: Never Go Back.

Jika Jack Reacher yang ditayangkan pada 2012 diarahkan Christopher McQuarrie, kali ini peranan itu diambil alih Edward Zwick yang tidak kurang hebatnya dalam mengarahkan filem aksi.

Filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Lee Childs itu mulai ditayangkan sejak minggu lalu ini masih mengekalkan elemen aksi dan drama mendebarkan.

Selepas seminggu ditayangkan di Amerika Syarikat, ia berjaya mencatat kutipan AS$23 juta sekali gus meletakkan ia di kedudukan pertama filem box-office.

Menurut pemerhati filem di sana, jika sambutan terhadap filem ini berterusan tidak mustahil Jack Reacher: Never Go Back mampu mencatat kutipan sehingga AS$31 juta.

Dalam filem ini, Reacher yang kembali ke pangkalan tentera tempat asalnya bertugas di Virginia untuk menemui Mejar Susan Turner (lakonan Cobie Smulders) yang mengambil alih jawatannya sebelum ini terpaksa berdepan dengan kemelut baru ekoran penahanan rakannya itu.

Apa yang mengejutkan Reacher ialah Turner digantung kerja kerana dituduh terbabit dalam satu konspirasi untuk mengkhianati negara.

Yakin ada sesuatu yang tidak kena berlaku, Reacher berusaha untuk membebaskan Turner dengan mencari dalang sebenar di sebalik apa yang berlaku itu.

Pada masa sama, Reacher turut terbabit dengan masalah baru apabila didakwa mempunyai anak perempuan berusia 15 tahun dan perlu bertanggungjawab ke atas remaja itu.

Tidak hanya menumpukan kepada babak aksi semata-mata, filem ini turut hadir dengan jalinan plot yang cukup menarik.

Malah, konflik yang diketengahkan juga lebih rumit dan mengundang rasa ingin tahu yang lebih mendalam daripada penonton.

Pengarah sinematografi juga bijak bermain dengan ‘syot’ yang didefinisikan sebagai elegan terutama pada ‘syot’ aksi.

Setiap adegan aksi yang dipaparkan hampir sempurna dan tepat dari sudut koreografi.

Persembahan lakonan daripada Cruise sememangnya tidak perlu dipertikaikan apatah lagi dengan babak aksi yang sememangnya menjadi kelebihan utamanya.

Biarpun sudah menginjak usia 50 tahun, Cruise ternyata masih lagi hebat serta tangkas dalam setiap pergerakan aksinya menjadikan watak Jack Reacher itu begitu padan dengan dirinya.

Tidak dinafikan, usia bukan halangan untuk Cruise setia memilih filem bergenre aksi sebagai pertaruhannya kepada penonton.

Selain babak aksi yang mendebarkan, filem ini juga menonjolkan elemen kekeluargaan dan kasih sayang yang mampu menyentuh hati penonton menerusi watak Jack Reacher dan juga remaja yang didakwa sebagai darah dagingnya.

Walaupun segelintir pengulas filem mengkritik penampilannya dengan cuba membandingkan Jack Reacher: Never Go Back ini dengan filem pertamanya, namun sekuel terbaru yang menelan belanja pembikinan AS$96 juta ini berbaloi untuk tontonan.

Apatah lagi Jack Reacher sudah menjadi satu lagi jenama yang cukup sinonim dengan pelakon kacak itu selain filem Mission: Impossible.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");