Berita Hari Ini

Esscom patahkan beberapa cubaan jenayah rentas sempadan

KOTA KINABALU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur? Sabah (Esscom) berjaya mematahkan beberapa cubaan penjenayah rentas sempadan untuk melakukan jenayah termasuk penculikan untuk wang tebusan, tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, kejayaan itu merupakan kerjasama antara Esscom dan semua agensi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Dengan kerjasama daripada Esscom, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, kita dapat mematahkan beberapa cubaan (penjenayah untuk lakukan jenayah rentas sempadan).

“Dengan kehadiran anggota keselamatan di kawasan perairan, ia juga memberi satu bentuk pencegahan yang baik…kita tahu mereka (penjenayah) cuba nak masuk tetapi mereka tidak dapat apabila melihat kehadiran anggota keselamatan di kawasan perairan,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Hari Sukan Negara peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Sabah yang disertai kira-kira 800 anggota dan pegawai polis bersama pasangan dan anak masing-masing, di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama rapat secara bersepadu antara semua agensi keselamatan yang terdapat di Esszone yang sering bertemu dan berbincang untuk membendung masalah keselamatan di kawasan berkenaan.

“Ini peranan kami. Saya menyeru masyarakat untuk memberikan sepenuh kerjasama dalam menyampaikan sebarang maklumat berkaitan dengan keselamatan sebab tanpa kerjasama daripada masyarakat, amat sukar bagi kami untuk bertindak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid mengingatkan golongan nelayan termasuk persatuan-persatuan nelayan agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak agensi keselamatan di kawasan Esszone bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Merujuk kepada kes penculikan terbaharu baru-baru ini, Abdul Rashid berkata bot nelayan terbabit tidak mempunyai Sistem Pengesanan Automatik (AIS) untuk berkomunikasi serta masih menggaji pekerja yang tiada dokumen pengenalan diri.

“Dia tidak minta pun permit pengecualian perintah berkurung. Jadi kenapa jadi begini? Kerjasama daripada para nelayan ini mustahak untuk kepentingan bersama,” katanya.

Mengenai tindakan agresif pasukan keselamatan negara Filipina dalam memburu kumpulan pengganas di selatan negara itu, Abdul Rashid berkata pasukan keselamatan di Esszone sentiasa peka dengan perkembangan itu.

Katanya, polis Sabah sentiasa mengambil serius apa juga yang berlaku di negara jiran dan anggota perisikan Malaysia dan Filipina juga sentiasa bekerjasama bagi berkongsi maklumat risikan berkaitan keselamatan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");