Sukan Hari Ini

Frank Bernhardt mahu kekal rentak

PENGENDALI skuad skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Frank Bernhardt mahu pemainnya mengulangi aksi cemerlang pada separuh masa kedua ketika menumbangkan Brunei 2-0 apabila sekali lagi bakal menentang pasukan sama hari ini.

Menurutnya, beberapa pemain muda juga bakal diberi peluang untuk beraksi ekoran kecederaan yang dihadapi beberapa tonggak utama.

“Pada aksi hari ini kita bakal kehilangan enam atau tujuh pemain akibat kecederaan.

“Ini memberi peluang kepada pemain muda untuk mempamerkan kebolehan mereka dan memikat barisan jurulatih,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Bernhardt menyifatkan kekurangan waktu untuk latihan pasukan menjadi punca utama aksi hambar pada separuh masa pertama.

“Kita dapat lihat dua corak permainan yang berbeza pada setiap babak. Separuh masa pertama agak sukar dalam mendapatkan rentak yang dikehendaki.

“Masalah utama ialah mengumpulkan pemain agak lewat untuk mereka mencari keserasian. Jadi kita harus terima permainan yang agak kurang menarik pada babak pertama.

“Namun ia jauh berbeza pada separuh masa kedua apabila kita melakukan beberapa pertukaran, dan akhirnya di babak akhir permainan, kita mampu mencatat kemenangan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, pemain gantian yang juga penyerang Kedah, Muhd Syafiq Ahmad meledak dua gol memastikan kemenangan bergaya sekali gus memberi petanda positif dalam persiapan menghadapi Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");