Jenayah

Geng Rakus tumpas

Alor Setar: Polis menahan empat lelaki ahli Geng Rakus yang terbabit dalam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM11,000.

Ketua Polis Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek berusia 26 tahun hingga 43 tahun itu menyasarkan kedai serbaneka 24 jam untuk melakukan kegiatan mereka dengan bersenjatakan parang dan pisau.

Menurutnya, kejadian terbaru berlaku pada 27 September lalu menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini, sebelum polis yang menjalankan siasatan kemudian berjaya menahan mereka di sebuah rumah di Kampung Borhan jam 2 pagi pada 29 September lalu.

“Hasil siasatan suspek mengaku melakukan sebanyak 11 kes samun di sekitar daerah ini membabitkan nilai kerugian dianggarkan lebih RM11,000.

“Ketika serbuan itu, kita turut merampas beberapa barangan hasil samun yang belum dijual suspek,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan memiliki rekod lampau berkaitan dadah, samun dan pecah rumah.

“Kumpulan ini juga melakukan kegiatan sama di daerah lain dan kini ditahan reman IPD Kubang Pasu untuk membantu siasatan berhubung kejadian samun di daerah itu.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan dan penanahan mereka berjaya menyelesaikan beberapa kes samunkedai serbaneka 24 jam di daerah ini,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Lelaki yang memecah cermin kereta dan melarikan barangan mangsa ditahan polis di sebuah motel, di sini, 3 Oktober lalu membabitkan nilai kerugian dianggarkan RM70,000.

Mohd Rozi berkata, suspek berusia 30 tahun itu menyasarkan kereta yang diletakkan di kawasan masjid, pasar dan Stadium Darulaman.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu positif dadah dan dia kini direman sehingga 13 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");