Berita Hari Ini

Hospital awam perlu tingkat promosi

SEGAMAT – Pengurusan hospital di negara ini perlu meningkatkan lagi promosi mereka agar dapat memberi kefahaman dan keyakinan kepada masyarakat terhadap perkhidmatan perubatan yang disediakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan berpaksikan rakyat.

“Saya menggalakkan warga kerja kementerian saya iaitu pihak hospital dan jabatan-jabatan kesihatan supaya lebih mengamalkan minda terbuka dan sentiasa mudah untuk didekati pelanggan yang memerlukan khidmat mereka.

“Konsep turun padang juga perlu supaya kita sentiasa memasang telinga dan membuka mata seluas-luasnya untuk mendengar dan melihat sendiri keperluan serta kemahuan pelanggan dan ini lebih mendekatkan kita kepada masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Doktor Turun Kampung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sepinang, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad; Ketua Umno Bahagian Segamat, Zahari Sarip dan Ketua Kampung Sepinang, Mohd Taher Ibrahim.

Subramaniam berkata, program seperti itu menepati hasrat kerajaan dalam memastikan usaha merakyatkan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi.

“Masalah-masalah yang timbul dapat diatasi dan diambil tindakan segera seperti aduan atau rasa tidak puas hati masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan Hospital Daerah Segamat selain dapat memberi penambahbaikan dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga sedang mempergiatkan lagi aktiviti pencegahan denggi dengan menghapuskan kawasan yang berisiko menjadi tempat pembiakan aedes.

Katanya, aktiviti pencegahan itu turut melibatkan jabatan kesihatan, masyarakat setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti melakukan gotong-royong dan pemantauan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");