Berita Hari Ini

Imej Jabatan Imigresen boleh dipulihkan – KPISM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yakin pelaksanaan tiga strategi bagi membendung rasuah dalam kalangan pegawai, dapat mengembalikan imej Jabatan Imigresen yang sebelum ini tercalar dengan isu integriti serta persepsi negatif masyarakat.

Presiden KPISM, Ajeet Singh, berkata tiga strategi merangkumi tindakan dalaman, pencegahan dan pendidikan berterusan mengenai integriti dalam penguatkuasaan itu perlu diambil bagi memastikan ruang dan peluang perlakuan rasuah ditutup sepenuhnya.

“KPISM komited membantu Jabatan Imigresen dan kepemimpinan tertinggi membanteras salah laku serta aktiviti tidak berintegriti.

“Bagaimanapun, pegawai yang ditahan atas dakwaan mensabotaj sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Imigresen disaran didakwa menggunakan peruntukan akta sedia ada dan bukannya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Pegawai ini perlu diberi hak dibicara dan dihukum oleh mahkamah. KPSIM tidak akan berkompromi dan melindungi mereka daripada hukuman selayaknya.

“KPISM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam menjaga dan memastikan pegawai imigresen berintegriti serta menjalankan tugas dengan penuh amanah demi nama baik Jabatan Imigresen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ajeet berkata, pemantapan integriti pegawai menerusi pendidikan adalah tindakan tepat, di samping penyediaan operasi prosedur standard (SOP) mengikut arus perubahan zaman.

Katanya, peningkatan taraf hidup masa kini turut menyumbang kepada kecenderungan salah laku segelintir pegawai.

Tiga strategi berkenaan dinyatakan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, dalam satu kenyataan media, semalam.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");