Isu Panas

Isu Johor: Hanya kesan kecil kepada BN

KOTA BHARU – Tindakan Adun Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) hanya memberikan kesan kecil sahaja terhadap BN.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak menafikan ada yang keluar Umno, namun ramai juga ahli-ahli baru yang dulunya berada dalam parti lain, kini menyertai BN.

“Tipulah kalau tindakan Adun Johor (Jorak) itu tidak beri kesan langsung… memang ada kesan, tetapi kecil sahaja kerana ada yang keluar Umno, tetapi yang menyertai kita (BN) pun ramai juga.

“Pada saya, kita ada ramai kumpulan, ada juga pengundi atas pagar mungkin 20 peratus hingga 30 peratus, jadi sekarang ini, kita kena pastikan mereka berminat untuk berjuang bersama kita memandangkan mereka bukan ahli mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2016, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, hari ini.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Shahruddin menjawat jawatan Setiausaha Agung parti berkenaan.

Mustapa mengingatkan ahli BN bahawa tindakan itu adalah sebahagian cabaran yang ada dalam politik termasuk memperkemaskan benteng pertahanan.

“Kita perlu menyerang juga, harus akui kita kehilangan tokoh, tetapi setakat ini, tidak timbul masalah besar, jadi yang pentingnya, kita kena kerja kuat dari segi melakukan aktiviti dan menggerakkan secara aktif penerangan BN.

“Kita tidak boleh semata-mata mengharapkan kepada nasib, kita harus ambil serius kerana walaupun berapa kerat sahaja yang meninggalkan kita, tetapi sesetengah mereka adalah tokoh, maka kita perlu ambil berat dan perkemaskan jentera kita,” katanya.

Beliau juga turut mencadangkan strategi kedua supaya BN perlulah menyerang secara agresif dan mengenalpasti kelemahan parti lawan.

“Kita juga perlu memikat pengundi atas pagar dan memastikan ahli Umno tetap bersama Umno, manakala strategi ketiga, pendekatan penerangan perlu diberikan kepada pengundi atas pagar dan penjawat awam serta badan bukan kerajaan (NGO) kerana peranan mereka cukup besar.

“Kita harus mengatur langkah dan masa, malah kita akui, di Kelantan, gerak kerja sudah dimulakan dengan penuh kesabaran, Insya ALLAH peluang lebih berjaya dan kita akan berada atas landasan sebenar Islam, bangsa dan negara,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");