Lisbon: Juara Eropah Portugal berjanji bangkit bagi dua perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Andorra dan Kepulauan Faroe, menurut penyerang FC Porto, Andre Silva.
“Kami akan menyerang sebanyak mungkin dan cuba menjaringkan gol sepantas mungkin,” katanya pada sesi latihan semalam.
“Saya sedar orang melihat kami sebagai pilihan, kami juga sedar kami pasukan pilihan, tapi kami tidak boleh memandang rendah lawan. Kami berhasrat untuk bermati-matian bagi memastikan kami menang semua perlawanan.”
Silva, 20, yang meraih panggilan pertama ke skuad kebangsaan bulan lalu bagi aksi persahabatan menentang Gibraltar dan kelayakan Piala Dunia menentang Switzerland berkata, dia bangga bermain di samping Cristiano Ronaldo.
“Saya sudah lama tidak berada dalam pasukan tapi dia pemain terbaik di dunia. Hanya berada dekat dengannya, dalam pasukan sama, menggembirakan saya dan saya harap dapat menjaringkan banyak gol di sampingnya. Sudah tentu saya bangga,” ujarnya.
Jurulatih Portugal, Fernando Santos menyenaraikan Silva dalam skuadnya bagi aksi halaman sendiri menentang Andorra awal pagi esok sebelum bertandang ke Kepulauan Faroe tiga hari kemudian. – AFP/harian metro