Membawang Hari Ini

Jelajah 15 artis ke selatan

Selepas hampir 10 tahun tidak mengadakan konsert siri jelajah membabitkan artis naungannya, syarikat rakaman FMC Music kembali menemui peminat di selatan tanah air membabitkan Johor dan Melaka pada 29 serta 30 Oktober ini.

Acara yang mendapat kerjasama Joox Live dan Best FM ini menampilkan 15 artis popular seperti Tasha Manshahar, Syed Shamim, Ernie Zakri, Wani, Haiqiem Rusli, Sissy Imann, Tajul dan Eleena Haris.

Tidak ketinggalan beberapa penyanyi baru seperti Wany Hasrita, Farah Farhana, Hez Hazmi, Baron Bros, Haziq (putera band), Wan Azlyn serta vokalis kumpulan Selasa Band iaitu Dhena.

Bagi Ernie yang popular menerusi lagu Jangan Marah, dia meluahkan rasa teruja untuk menghiburkan peminat di dua negeri itu.

“Apabila diberitahu mengenai acara ini saya berasa sangat teruja. Selama tujuh tahun pembabitan saya dengan pihak FMC Music, ini kali pertama kami mengadakan siri jelajah. Kiranya ini sesuatu yang baru untuk saya. Lebih teruja apabila saya dengan rakan penya–nyi lain dapat berkumpul bersama-sama menjayakan acara ini.

“Dari segi persiapan, saya tak ada masalah. Ini kerana setiap kali mengajar kelas vokal saya turut melatih dan mempersiapkan diri. Jadi perkara itu sedikit sebanyak membantu saya,” katanya.

Mengenai jangkaan terhadap sambutan peminat di sana nanti, Ernie menyifat–kan peminat di sana sangat ‘sporting’.

“Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan di sana dan sambutan diberikan sangat luar biasa. Jadi apabila dua negeri ini dipilih bagi siri jelajah ini, bagi saya ia adalah pilihan yang tepat.

“Pendek kata peminat di Johor dan Melaka sangat menyokong dan ‘sporting’. Mereka tak pernah gagal untuk menyanyi bersama. Jadi itu yang membuatkan saya tak sabar untuk bertemu dengan mereka lagi,” katanya yang bakal menyanyikan lagu Jangan Marah.

Sependapat dengan Ernie, Syed Shamim juga tidak sabar untuk menjelajah ke dua negeri itu apatah lagi ini kali pertama dia terbabit dalam program besar anjuran syarikat rakamannya.

“Tahun ini adalah tahun keempat saya bersama FMC Music. Mini konsert ini sesuatu yang besar untuk saya sepanjang bergelar pe–nyanyi. Menariknya juga, ini kali pertama saya bersama penyanyi lain berkumpul di lokasi sama.

“Sebenarnya pihak syarikat rakaman sudah lama merancang mengadakan aktiviti yang membabitkan semua artis, namun tidak kesampaian kerana kekangan masa daripada semua pihak.

“Jadi saya mengambil peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahim antara artis dan pihak pengurusan selain daripada menjayakan persembahan bersama-sama,” katanya.

Pada masa sama, Syed teruja untuk melancarkan album terbarunya berjudul Melodi.

“Peminat yang hadir berpeluang untuk mendapatkan album saya secara eksklusif. Selain itu, saya bersama Tasha dan Eleena Haris akan menyanyi secara akustik diiringi band ‘Whisper To The Deaf (WTTD).

“Saya berharap acara ini mendapat sambutan kerana kami menjanjikan sesuatu yang istimewa. Selain itu, terdapat juga persembahan daripada barisan artis Mixology Music iaitu syarikat rakaman milik DJ Fuzz,” katanya.

Sementara itu Sissy menjangkakan acara itu bakal mendapat sambutan hangat daripada peminat berdasarkan pengalamannya membuat persembahan di dua negeri itu.

“Saya pernah mengadakan persembahan di sana dan sambutan sangat hebat. Untuk kali ini saya turut mengharapkan yang sama. Apatah lagi menggabungkan ramai artis lain.

“Soal persembahan saya nanti ia bergantung kepada masa. Begitu juga dengan jumlah lagu yang bakal saya nyanyikan, tunggu saja nanti,” katanya.

Menurut Sissy dia berasa gembira apabila dapat bersama-sama barisan artis lain menjayakan konsert mini ini.

Konsert mini yang bertujuan untuk mempromosikan barisan artis naungan syarikat itu bakal berlangsung di tiga lokasi iaitu di Kluang Mall, Johor pada 29 Oktober (jam 2 petang), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat (jam 8 malam) dan Mydin Mall Jasin Melaka pada 30 Oktober (jam 2 petang).

Peminat yang hadir pada konsert mini itu nanti bukan saja boleh melihat persembahan penyanyi kesayangan mereka dengan lebih dekat, malah mereka berpeluang mendapatkan album baru daripada Tasha Manshahar berjudul Bukan Aku dan Syed Shamim berjudul Melodi.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");