Sukan Hari Ini

Juara sebenar

Motegi, Jepun: Penunggang Honda Marc Marquez (gambar) meraih kejuaraan MotoGP kali ketiga dalam tempoh empat tahun semalam apabila menjuarai Grand Prix Jepun selepas kedua-dua pencabar terdekatnya Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo terkeluar.

Pelumba Sepanyol itu mempunyai peluang tipis untuk bergelar juara tetapi kemenangan di Motegi memberikannya kelebihan 77 mata berbanding pelumba Itali Rossi yang bermula dari petak pertama, namun terbabas ke kawasan kerikil terlebih dahulu.

“Setiap tahun pastinya mencabar dan anda sentiasa memberikan yang maksimum, tapi tahun ini tekanan yang saya rasai terutama pada awal musim memang amat tinggi,” kata Marquez.

“Saya rasakan tekanan bertambah, tapi ia juga memberikan saya motivasi tambahan. Kombinasi ini membuatkan saya lebih fokus.”

Pelumba termuda yang memenangi perlumbaan MotoGP dan gelaran pada musim pertamanya pada 2013, kemenangan Marquez di Jepun menjadikannya pelumba termuda merangkul tiga kejuaraan.

Marquez berkata, kehilangan gelaran kejuaraan kepada Lorenzo tahun lalu mengajarnya bagaimana untuk menangani tekanan.

“Ada kalanya saya terlupa untuk menikmatinya kerana tekanan terlalu tinggi. Pasukan banyak membantu saya melupakan tekanan.

“Juara sejati adalah apabila anda boleh mengendalikan tekanan. Baiklah, anda boleh melakukan kesilapan sama tapi tahun lalu saya belajar bahawa konsisten amat penting.”

Dia menamatkan perlumbaan hampir tiga saat di depan pelumba Ducati Andrea Dovizioso, manakala pelumba Suzuki Maverick Vinales di tangga ketiga.

Memandangkan Rossi, juara tujuh kali kelas perdana tersingkir daripada saingan, Lorenzo perlu menduduki tangga keempat atau lebih baik untuk cuba mempertahankan gelaran.

Pelumba Sepanyol itu yang mengalami kemalangan pada sesi latihan kelmarin tetapi kembali untuk layak di petak ketiga, berusaha menyaingi Marquez.

Namun, Lorenzo terus berdepan tekanan Dovizioso dan cabarannya berakhir di kerikil dengan baki lima pusingan selepas jenteranya terbabas.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");