Membawang Hari Ini

Kari Sanjana angkat kisah perpaduan

BERSEMPENA dengan sambutan Perayaan Deepavali, TV3 tampil dengan sebuah telefilem berjudul Kari Sanjana. Telefilem arahan Heykal Hanifah ini menampilkan gandingan pelakon Melayu dan India seperti Syafiq Kyle, Nadiya Nisaa, Amyza Aznan, Jay Iswazir, Rama, Thana Letchumi, Kalpana Shree dan Shruti Sargunan.

Bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama, Sabtu ini (29 Oktober) bermula jam 9 malam, selama dua jam.

Menurut Heykal pembikinan telefilem ini agak dekat dengan dirinya yang pernah membesar bersama keluarga India ketika kecil.

“Telefilem ini boleh dikatakan sebuah telefilem yang mengangkat kisah perpaduan. Bagaimana dua buah keluarga berlainan bangsa yang hidup berjiran dan sangat harmoni.

“Mereka saling menghormati dan hidup seperti sebuah keluarga. Mungkin ada yang mempertikaikan, ada ke kehidupan berjiran macam ini lagi dan jawapan saya ada. Saya sendiri pernah menumpang teduh dengan sebuah keluarga India ketika kecil apabila ibu saya keluar kerana mempunyai urusan.

“Apa yang saya ingin paparkan di dalam telefilem ini adalah, bagaimana dua keluarga berlainan bangsa, boleh berjiran dan saling menghormati kerana kini, sesama bangsa pun ada yang bergaduh dan bermasam muka,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Heykal, cabaran utama dalam menyiapkan telefilem ini adalah masalah bahasa pada proses suntingan dan skrip.

“Di set saya tidak ada masalah kerana Rama dan Thana serta pelakon India lain tahu bercakap bahasa Melayu dengan baik.

“Cuma masalah timbul apabila dapat skrip dalam bahasa Melayu dan saya mahu mereka bertutur dalam bahasa Tamil.

“Jadi saya minta bantuan pelakon sendiri untuk ubah skrip ke dalam bahasa Tamil. Malah masa proses suntingan, saya minta bantuan seorang lelaki India untuk membantu memahami skrip yang dilontarkan.

“Namun istimewanya lakonan pelakon berbangsa India, walaupun saya tak faham apa yang mereka cakapkan, tapi saya boleh rasa.

“Malah saya rasa lakonan mereka lagi ikhlas dan berkesan dari pelakon berbangsa Melayu sendiri,” jelasnya.

Heykal berkata, apa yang diharapkan, telefilem ini boleh menimbulkan kesedaran serta memupuk semangat perpaduan yang semakin terhakis di kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Kari Sanjana mengisahkan Farhan dan Linda adalah pasangan suami isteri yang baru berkahwin. Mereka berpindah di sebuah rumah sewa.

Suatu hari, Linda kempunan kari selepas terhidu bau masakan jiran di sebelah rumahnya.

Menurut Uncle Kumar dan Aunty Sonali, kari resepinya diberi nama Kari Sanjana. Apabila ditanya siapakah Sanjana, mereka seperti masih belum bersedia untuk berkongsi cerita.

Farhan dan Linda ingin mencari siapakah Sanjana yang sangat bermakna buat Aunty Sonali dan Uncle Kumar itu. Satu hari, ketika Linda sedang sarat mengandung, dia terkejut mendapat berita bahawa Farhan terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Apakah yang akan terjadi dengan Farhan? Dapatkah Linda dan Farhan mencari siapakah Sanjana?

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");