Berita Hari Ini

Kekangan peruntukan tak gugat projek kementerianò

KLUANG: Kekangan jumlah peruntukan dalam pembentangan Bajet 2017 yang diumumkan pada Jumaat lalu tidak akan menggugat pelaksanaan 48 projek perolehan dan pembangunan yang dirancang Kementerian Pertahanan sepanjang tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara projek berkenaan adalah antara projek berkenaan adalah pembinaan Garaj Utama Kenderaan 8×8, pembinaan Hangar Pesawat Nuri Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), projek jalan di bawah program Jiwa Murni di Sarawak, perolehan kenderaan perisai 4X4, perolehan enam unit Multipurpose Armed Reconnaissance Helicopter MD530G, perolehan enam Second Generation Patrol Vessel Littoral Combatant Ship (SGPV-LCS), perolehan empat Pesawat AirbUs 400M, sistem radar SOC 3 dan Infra Kota Samarahan Sarawak.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peruntukan untuk penyenggaraan dan peningkatan keupayaan aset amat bertepatan bagi memastikan aset dapat digunakan secara efektif.

“Biarpun negara dan dunia berdepan dengan ekonomi yang tidak menentu, peruntukan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi memelihara keselamatan negara.

“Bagi bajet 2017, Kementerian Pertahanan diperuntukkan sebanyak RM11.7 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) manakala RM3.37 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE). Saya bersyukur kerana pihak kerajaan terus memberi tumpuan khusus kepada bidang keselamatan dan pertahanan negara dalam bajet kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis kesyukuran Meraikan Felda Ulu Penggeli sempena Juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) Kebangsaan, di Dewan Semai Bakti Felda Ulu Penggeli, dekat sini.

Hishammuddin berkata, pengumuman perdana menteri yang memberi peruntukan untuk penyelenggaraan dan peningkatan keupayaan aset-aset sedia ada amat bertepatan.

“Antara projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuklah refit dua kapal selam scorpene, peningkatan keupayaan pesawat pejuang Hawk, pesawat pengangkut C-130 dan peningkatan keupayaan helikopter Nuri.

“Kementerian juga akan meneruskan usaha bagi mengukuhkan kedudukan strategik di Sabah dan Sarawak menerusi projek infrastruktur pembinaan Kem Tentera Darat Esscom di Felda Sahabat, Lahat datu dan pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Lahad Datu, Sabah yang akan dimulakan pada tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, dengan pembentangan bajet tersebut sebanyak RM114 juta diperuntukkan untuk menyiapkan jalan di kawasan-kawasan pedalaman di Sarawak di bawah Projek Jiwa Murni.

“Bajet 2017 juga membenarkan Kementerian Pertahanan terus fokus kepada pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang lebih kondusif melalui 12 projek tersebut di seluruh negara.

“Projek ini akan menelan kos sebanyak RM1.2 bilion untuk tempoh lima tahun serta memberi manfaat kepada hampir 4,000 keluarga,” katanya.

Sementara itu, tambahnya bagi mendukung hasrat dan aspirasi kerajaan untuk lebih bersifat Rakyat-Centric, kementeriannya akan terus mengukuhkan tumpuannya dalam menambahbaik aspek kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, melalui Insentif Khas Insurgensi ATM berjumlah RM55 juta faedah akan diperluaskan kepada veteran ATM yang cedera atau telah meninggal dunia sebelum tahun 2001.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");