Jenayah

Kereta api bawa 41 gerabak kosong tergelincir

BATU GAJAH: Sebuah kereta api barang Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bersama 41 gerabak yang dalam perjalanan dari Kuang, Selangor ke Tasek, Ipoh untuk mengambil simen tergelincir selepas mengalami kerosakan dan kebakaran kecil pada bahagian enjin di Kampung Bakap berhampiran Stesen KTMB Batu Gajah, di sini awal pagi tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.43 pagi tadi sebelum dua buah jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan BBP Simpang Pulai dikerahkan ke lokasi berkenaan.

Katanya, seramai kira-kira tiga pegawai kanan dan 18 anggota terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.

“Operasi pemadaman tidak mengambil masa yang lama iaitu hanya kira-kira 10 minit sahaja namun kami perlu menunggu pihak KTMB memotong bekalan elektrik terlebih dahulu sebelum memulakan operasi pemadaman bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kira-kira 25 daripada 41 gerabak kereta api berkenaan terbakar dan tiada penumpang yang cedera berikutan kereta api berkenaan tidak membawa sebarang muatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Jamil berkata kebakaran berjaya dipadamkan dan anggota bomba membuat pemantauan rapi bagi memastikan api selamat dipadamkan sepenuhnya.

“Kini operasi pengalihan sedang giat dilakukan dan operasi pemadaman tamat pada jam 8.15 pagi tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, setakat ini 10 gerabak sudah berjaya dialihkan dan hanya tinggal 15 gerabak lagi yang masih dalam proses pengalihan.

Sementara itu, jurucakap KTMB berkata, kerja-kerja pembaikan mungkin mengambil masa yang agak lama dan kemungkinan mengakibatkan gangguan pada jadual perjalanan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Katanya, penumpang ETS akan dibawa menaiki bas dari Ipoh ke Kampar dan Tanjung Malim untuk menaiki ETS lain hingga sampai ke destinasi.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");