Sukan Hari Ini

Kim Swee tak banyak pilihan

Kuala Lumpur: “Itu saja pemain terbaik yang boleh saya panggil dan ingin mewakili negara.” Itu jawapan ringkas diluahkan pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee (gambar) ketika ditanya mengenai luahan rasa tidak puas hati pelbagai pihak dengan senarai terbaru yang diumumkan kelmarin.

Tidak banyak perubahan yang dilakukan jurulatih kebangsaan itu apabila mengekalkan sebahagian besar pemain pada sesi latihan pusat awal bulan ini selain menyenaraikan semula penyerang senior Mohd Safee Sali dalam skuad 26 pemainnya bagi persiapan kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar bulan depan.

Selain kehadiran mengejutkan bekas pemenang kasut emas kejohanan edisi 2010 itu, apa yang menjadi pertikaian khususnya peminat tempatan adalah beberapa pemain yang tidak terpilih termasuk tonggak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) iaitu penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, pertahanan kiri Fazly Mazlan dan pemain sayap kanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

“Ada lima pemain digugurkan daripada skuad 30 pemain sebelum ini, ada yang saya tidak bawa atas faktor prestasi, kecederaan dan masalah lain,” jelasnya.

Skuad kebangsaan sebelum ini terpaksa melupakan khidmat kapten Safiq Rahim, Aidil Zaquan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal selepas tonggak Johor DT itu mengambil keputusan bersara di pentas antarabangsa, Jun lalu.

Kim Swee akan mula mengumpul pemain pada Selasa ini sebelum mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, 14 November. Selepas perlawanan itu, senarai terakhir 23 pemain ke Yangon akan diumumkan.

Mengulas mengenai kehadiran Kemboja dalam saingan Kumpulan B Piala AFF apabila pasukan itu mengesahkan tempat selepas muncul juara pusingan kelayakan, Kim Swee berkata, tiada laluan mudah pada setiap perlawanan.

“Tiada jalan mudah, kita perlu berada di tahap terbaik pada setiap perlawanan tidak kira sama ada bertemu Vietnam, Myanmar dan Kemboja. Kemboja bukan lawan mudah, mereka bukan pasukan yang dulu, mereka sudah semakin bagus dari segi kawalan bola dan taktikal,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");