Sukan Hari Ini

Kurang pengalaman punca buntu

KURANGNYA pengalaman dan pendedahan di peringkat antarabangsa menyebabkan pasukan Harimau Malaysia gagal memberikan aksi terbaik dan buntu mencipta jaringan dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Menurutnya, skuad negara rata-rata dibarisi pemain yang sebelum ini belum pernah bermain di peringkat antarabangsa berbanding pemain Singapura yang telah bermain sebagai satu pasukan sejak 2007.

“Rata-rata pemain Singapura saya kenal sejak 2007 dan mereka telah bermain lama bukan dua atau tiga tahun. Kerana itu, mereka mempunyai lebih pengalaman berbanding pasukan negara.

“Lihatlah bagaimana mereka menguasai permainan dan kita hanya mengharapkan kepada beberapa tonggak senior seperti Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

“Jadi saya tidak terkejut jika kita hanya mampu seri menentang Singapura. Cuma yang saya puji adalah semangat mereka untuk bertahan dan tidak mahu kalah. Itu saya puji,” katanya.

Justeru, Sathianatahan mengandaikan pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mempunyai kerja cukup berat dalam memastikan pasukannya cukup bersedia bagi menghadapi Piala AFF Suzuki tahun ini.

Tambahnya lagi, dia melihat banyak kelemahan bukan sahaja ketumpulan di bahagian serangan, tetapi juga kurang kreativiti di bahagian tengah dan beberapa aspek yang perlu diperbaiki di bahagian pertahanan.

“Kalau kita tengok, pemain takut-takut untuk pegang bola. Bagi saya mereka bermain dalam tekanan. Untuk mengatasinya, saya kira Kim Swee perlu segera mencari kemenangan pertama buat skuad negara. Ia paling penting untuk meredakan tekanan pemain,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");