Jenayah

Lelaki dipenjara, miliki bahan berkaitan pengganas

KUALA LUMPUR: Bekas penuntut sebuah kolej dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman memerintahkan tertuduh Muhammad Hanif Ismail, 31, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 24 Mac tahun ini.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun sahaja selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Ab Karim dalam penghakimannya berkata hukuman penjara adalah sesuai bagi menggambarkan keseriusan kesalahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

“Walaupun kesalahan yang dilakukan hanya bermula dengan memiliki bahan berkaitan pengganas tetapi ia akan membuka kepada keganasan sebenar dan ia berlaku tanpa sempadan,” katanya.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Muhammad Hanif didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Wangsa Walk Mall, Jalan Wangsa Delima 12, Wangsa Maju, pada 1.20 pagi, 24 Mac lepas, dan di rumah di Kampung Baru Bukit Lada, Kampung Awah, Temerloh, Pahang, pada 12 tengah hari hingga 1.20 tengah hari, 26? Mac lepas.

Tertuduh yang masih bujang dan merupakan pemegang diploma perniagaan didakwa mengikut Seksyen 130JB(10(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Muhammad Hanif telah ditahan oleh pihak polis di perkarangan Wang Walk Mall, dan dia kemudiannya telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Setapak.

Tertuduh juga telah membawa polis ke rumah keluarganya di Temerloh, Pahang, dan polis menjumpai beberapa bahan antaranya pelekat berwarna hitam putih disyaki logo kumpulan pengganas IS atau Daesh dan satu unit pemacu pena.

Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana anak guamnya telah mengaku salah dan insaf dengan perbuatannya dan penglibatannya hanya kerana ingin tahu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan bersifat pengajaran kepada tertuduh atas alasan kesalahan itu adalah serius kerana kegiatan pengganas yang semakin berleluasa. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");