Membawang Hari Ini

Lisa jadi penari KRU

Sudah tertulis jodoh pelakon Lisa Surihani dengan Yusry Abdul Halim. Mereka selamat disatukan pada 23 Februari 2012 dan ini perkahwinan kedua buat Yusry selepas bercerai dengan Erra Fazira.

Kini pasangan itu tambah bahagia dengan kelahiran anak perempuan, Yahaira Leanne pada 15 September 2015. Mungkin ada yang tidak tahu, sebenarnya Yusry adalah lelaki yang diminati Lisa selama ini dan minatnya itu bukan lagi rahsia.

Perkara itu pernah dikongsi Lisa sewaktu kisah cinta mereka diketahui umum dan merancang untuk mendirikan rumah tangga.

Menyelusuri kenangan di zaman remaja, Lisa sangat meminati Yusry dan menjadikan anggota KRU itu sebagai idolanya. Lisa memang minat dengan KRU dari dulu dan antara mereka bertiga, Yusry yang paling disukainya.

“Hendak diikutkan, saya mengenali lagu-lagu KRU sejak usia 13 tahun. Waktu itu mereka baru bergelar artis rakaman dan menghasilkan album sekitar 1992.

“Abang saya juga meminati KRU membeli kaset mereka. Apabila dia memutarkan lagu dari album yang dibeli, saya turut mendengar bersama,” katanya.

Sejak itu, KRU memang tidak asing dengan dirinya. Bermula dari abangnya, Mohamad Azan hinggalah bersama rakan sebaya yang turut menggilai kumpulan adik-beradik itu, minatnya terhadap kumpulan pop itu terus terpahat jitu dalam hati.

“Bayangkan saya hafal hampir seluruh lagu KRU. Bukan itu saja, disebabkan rakan sebaya waktu itu juga minat kami sering meniru gaya persembahan mereka.

“Kami sanggup bertungkus-lumus belajar dan meniru gerak tari KRU setiap kali ada klip video terbaru keluar,” katanya.

Perkara itu juga membawa Lisa turut bersama-sama dengan kumpulan yang mula popular menerusi album Canggih (1992) dan reKRUed (1993) itu mengadakan konsert di Singapura sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan KRU baru-baru ini.

Menceritakan kejutan yang dilakukan dan pembabitannya sebagai penari latar untuk konsert terbabit, kata Lisa segala-galanya bermula sewaktu dia menemani Yusry menjalani latihan.

“Saya tidak pernah memberitahu Yusry sewaktu remaja saya dan kawan-kawan sering kali mengikuti rentak tari persembahan mereka.

“Perkara itu memang kami lakukan setiap kali mahu menyaksikan persembahan mahupun konsert KRU. Apabila kita menyanyi dan menari sewaktu menyaksikan konsert, keseronokan itu dirasakan berganda,” katanya.

Menemani Yusry mengadakan latihan turut mengimbau kenangan dan apabila mereka menari dia turut ikut sama.

“Anggota kumpulan KRU terkejut apabila melihat saya boleh menari mengikut tarian yang pernah mereka tarikan sejak dulu. Kemudian Norman mencadangkan mengapa tidak saya membuat kejutan dengan tampil di pentas menari bersama mereka.

“Mendengarkan cadangan itu, saya berasa seperti berada di awangan. Ia bagaikan mimpi menjadi nyata. Selama ini saya mendengar lagu-lagu mereka.

“Saya pergi semua konsert yang diadakan tetapi untuk konsert besar di Singapura sempena ulang tahun ke-25 penubuhan mereka, saya berkesempatan tampil atas pentas dan mengadakan persembahan bersama. Pengalaman menarik itu tidak dapat diungkap dengan kata-kata,” katanya.

Lisa akui aksi suaminya dalam klip video Terhangat di Pasaran membuatkan rasa minat istimewa terhadap Yusry. Katanya, dari awal meminati KRU, Yusry paling istimewa di hatinya.

“Entahlah tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan tapi apa yang pasti, dia paling kacak berbanding abang dan adiknya, Edry. Saya masih ingat lagi waktu itu dia pakai serba hitam,” katanya.

Lisa menyifatkan dia sangat bertuah kerana dapat hidup dan membina keluarga bersama lelaki yang selama ini diminatinya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");