Sukan Hari Ini

Moto2: Hafizh lupakan Australia, fokus di Sepang

KUALA LUMPUR: Insiden di Grand Prix (GP) Australia, semalam yang mengakibatkan penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menamatkan perlumbaan lebih awal mahu dilupakan menuju perlumbaan di laman sendiri, hujung minggu ini.

Hafizh terjatuh apabila jenteranya terbabit kemalangan dengan pelumba Australia, Remy Gardner di pusingan pertama, sekali gus gagal melengkapkan sebarang pusingan di Litar Phillip Island, gelanggang yang diakui sukar buat penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan. Ia secara tiba-tiba dan pantas. Nasib tidak memihak saya ketika perlumbaan,” kata pelumba kelahiran Ampang itu, yang memulakan perlumbaan di petak ke-20.

Keputusan menyaksikan Hafizh tergelincir di kedudukan kesembilan keseluruhan kategori pelumba Moto2, dengan mengumpul 106 mata menuju baki dua pusingan terakhir musim ini di GP Malaysia dan Valencia, Sepanyol.

Perlumbaan di Australia adalah pusingan ke-16 dalam kalendar perlumbaan MotoGP dengan Malaysia diharapkan menjadi medan kebangkitan Hafizh yang pernah menamatkan perlumbaan di kedudukan podium pada edisi 2012.

“Saya teruja menuju perlumbaan minggu ini di Sepang. Sudah tentu ia akan menjadi minggu yang sibuk bagi kami. Harapnya saya dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Prinsipal pasukan, Barry Leong, turut mengakui apa yang terjadi kepada Hafizh adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Kami mengharapkan perlumbaan yang baik, namun ia berubah menjadi sebaliknya. Kemalangan memaksa Hafizh menghuni tangga kesembilan keseluruhan.

“Jentera kini sudah siap sepenuhnya dan kami bersedia untuk menghadapi Sepang pada minggu ini,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");