Membawang Hari Ini

Musim kedua sentuh emosi

Program masakan boleh menjadi program yang kusam jika tiada elemen menghiburkan.

Hala tujunya juga perlu jelas dan dibuat bersungguh-sungguh untuk menjadikannya berbaloi ditonton.

Berorientasikan kekeluargaan, Cooking For Love (CFL) yang kembali untuk musim kedua di saluran AFC (Astro 703) ternyata lebih menarik kali ini.

Mula bersiaran pada 27 Oktober setiap Khamis, jam 9 malam, yang pasti celoteh dua pengacaranya Cef Nik Michael dan Sarah Benjamin bakal membuatkan penonton tidak kering gusi.

Dalam temu bual bersama Rap kelmarin, mereka mengatakan CFL musim ini bukan saja menghiburkan tetapi bakal menggamit emosi penonton.

Itulah yang mereka sendiri rasakan sepanjang penggambaran program berkenaan.

“Dari segi kehangatan setiap episod, perbezaannya tidak terlalu ketara berbanding musim pertama. Kemeriahan setiap keluarga yang terbabit mencuba masakan kami tetap dirasai selain keletah kami berdua.

“Bagaimanapun, saya akui musim ini emosinya lebih dirasai daripada cerita latar belakang beberapa keluarga terbabit. Contohnya kisah suami isteri yang perkahwinan mereka diatur ahli keluarga yang membuatkan saya sendiri tertanya-tanya rupa-rupanya perkahwinan begitu masih wujud,” kata Nik.

Bagi Sarah, penggambaran musim kedua kali ini memang memberikan impak tersendiri.

Menurut pengacara kelahiran Singapura ini, ketika penggambaran, mereka akan sentiasa berwaspada dan peka untuk mencari di mana kedudukan kamera sewaktu bercakap dengan keluarga terbabit.

“Bagaimanapun, kali ini kami tidak lagi pedulikan di mana kamera berada dan kami fokus kepada cerita mereka. Situasi begitu membuatkan ia kelihatan lebih telus dan ‘natural’,” katanya.

Bercerita lanjut, menurut mereka cabaran seperti biasa masih lagi dari segi menu permintaan setiap keluarga. Nik dan Sarah yang sebelum ini sudah biasa tampil dengan menu sendiri, tetapi kali ini keluarga terbabit adalah keutamaan mereka.

“Dari segi menu, tiada konsep spesifik yang kami tetapkan sama ada makanan Barat atau yang lain. Kami dapati, menu bercorak ‘fusion’ yang kami masak rata-rata disukai keluarga terbabit.

“Bagaimanapun, ada juga permintaan yang memang membuatkan kami rasa gementar. Contohnya satu keluarga dari Thailand yang mahukan juadah asli negara itu kerana ia dekat di hati mereka. Itulah antara keluarga yang sangat mencabar kerana kami kena pastikan rasa asli masakan Thailand berjaya menambat mereka,” kata Nik.

Sarah pula menyifatkan CFL kali ini juga bakal membuatkan penonton tidak berganjak dan mahu menonton hingga ke akhir rancangan.

“Ia bukan program yang akan membuatkan penonton tiba-tiba rasa bosan di tengah rancangan. Terlalu banyak elemen selain kekeluargaan yang mengisi setiap episod selain pelbagai kerenah tetamu kami,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Nik yang baru-baru ini menutup restorannya, PickNik baru-baru ini tidak sesal dengan tindakannya itu.

Malah, dia tidak rasa terjamin pun sekiranya meneruskan perniagaan itu sekarang.

“Saya kini beralih kepada perniagaan lama saya iaitu katering. Syukur, sebulan selepas restoran ditutup, perniagaan katering mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sehingga kini,” katanya.

Bagi Sarah pula, selain aktif sebagai hos AFC, dia tidak sabar tampil dengan video blognya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Saya memang dari dulu mahu menjadi penulis masakan. Sebelum menjadi hos, saya aktif dengan penulisan blog dan terbaru dalam proses mengumpul video masakan dan mahu melancarkannya kelak.

“Selain itu, saya juga sudah ada perancangan awal untuk menulis buku masakan sendiri pula nanti,” katanya.

Bersempena musim kedua itu, Nik dan Sarah bakal menjayakan sebuah acara promosi yang akan berlangsung di LG2 Orange Concourse, Sunway Pyramid, jam 2 hingga 5 petang, Sabtu ini. Pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk demo masakan serta cabaran kulinari.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");