Isu Panas

Pas perlu fikir masak-masak

KOTA BHARU: Biarpun terus cuba dilamar dan dipujuk oleh Bersatu untuk bekerjasama pada PRU14 nanti, namun Pas masih belum membuat keputusan rasmi dalam soal itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan untuk jalinkan hubungan dengan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yasssin itu perlu difikirkan semasak-masaknya dengan tidak membelakangi pimpinan.

“Setakat ini belum ada apa-apa persetujuan, (kerjasama) mesti ada keputusan dasar yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi. Tidak boleh sewenang-wenangnya.

“Tetapi mana-mana parti nak wujudkan kerjasama dengan pembangkang itu terpulanglah, kita ada dasar kita,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat Menteri Besar Kelantan Sempena 26 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Peringkat negeri bersama di Kompleks Kota Darul Naim.

Dalam pada itu, Ahmad juga memberitahu, biarpun Kelantan menghadapi pelbagai kritikan apatah lagi ketika hampir musim PRU14, namun beliau yakin dasar Membangun Bersama Islam yang dilaksanakan secara telus selama ini membawa rahmat kepada negeri.

“Kerana kita berada atas dasar yang benar kita yakin, kita tidak tertekan dan terus berikhtiar kerana kita tahu dari dulu lagi Pas berdepan dengan pelbagai tekanan, cabaran, tetapi terus ke depan,” katanya.

Sementara itu, dalam amanat selama 30 minit itu juga Ahmad turut meminta supaya kakitangan kerajaan negeri mengelak daripada amalan yang bercanggah dengan prinsip Islam.

“Kita sama sekali tidak ingin mendengar berlakunya ketirisan dalam pengurusan aset-aset milik kerajaan. Kita sama sekali tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat apa jua penyelewengan yang berlaku.

“Mutakhir ini, kita dicemari fitnah dan maklumat separuh masak yang diviralkan kepada umum termasuk menerusi media sosial.

“Tambah parah apabila masyarakat kita pula suka mengambil maklumat tanpa usul periksa lalu tercetus persepsi yang salah. Perkara ini mesti ditangani dengan berhemah oleh pihak berwajib,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");