Sukan Hari Ini

Pasukan Kedah Eagles patah sayap lagi

NASIB Kedah Eagles kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga! Sudahlah kehilangan perejam utama, Shahrul Nizam Romli minggu lalu kerana kecederaan, pasukan dari utara itu terpaksa melupakan sementara khidmat apit kanan keduanya, Ali Alhamidi Mohd Ayob daripada Liga Sepak Takraw (STL) 2016.

Pelibas kelahiran Klang, Selangor itu ditimpa kemalangan ketika pulang daripada bertugas kelmarin sehingga tangannya terpaksa beranduh sekali gus menyulitkan Eagles dalam STL untuk menentang Penang Panthers di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, esok.

Shahrul pula mendapat musibah itu sehari sebelum minggu pertama STL yang bermula 30 September lalu dan terpaksa berehat panjang sehingga awal bulan depan.

“Kini hanya tinggal Mohamad Faris Mohd Salleh untuk menggalas tugas apit kanan kami selepas Shahrul tergelincir ketika berjoging dan tercedera buku lali dan kemalangan yang menimpa Ali biarpun kecederaan tangannya tidak serius,” kata pengurus pasukan Eagles, Syed Husain Syed Abu Bakar.

Eagles mengorak langkah kanan STL minggu lalu dengan mengejutkan antara pasukan pilihan, Kuala Lumpur Thunder 21-12, 21-9 tetapi disekat oleh pendahulu liga, Terengganu Turtles 13-21, 16-21, dua hari kemudian.

Syed Husain tidak menolak kemungkinan menyenaraikan dua pelibas baharu sementara menanti mereka pulih memandangkan posisi itu memerlukan pemain simpanan dan berisiko kecederaan di gelanggang selain kerana kejadian menimpa kedua-duanya berlaku di luar dugaan.

Turut menganggotai skuad itu sekarang ialah Nazirul Akram Razali, Asrah Adenan dan Syakim Jamil (tekong) di samping dua apit kiri atau pengumpan, Zuleffendi Sumari dan Mohd Noor Shafri Ruslan.

Jurulatih Panthers, Mohd Helmi Ismail pula memberitahu, mereka kekal dengan misi memenangi perlawanan dengan seberapa banyak mata yang mampu hasil persediaan rapi bagi menghadapi satu persatu lawan (Thunder, hari ini dan Eagles, esok) dan sambil cuba memintas Turtles.

“Kami tidak rela ketinggalan dalam kedudukan liga. Hanya pemain berprestasi terbaik dan gandingan padat akan diturunkan setiap minggu saingannya sejajar format antara regu musim ini yang mencabar,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");