Jenayah

Pencuri lagak pelajar kantoi

Kuantan: Gaya mereka tidak ubah seperti penuntut namun hakikatnya dua rakan ini pencuri motosikal yang bergiat aktif di universiti di bandar ini sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah dua lelaki terbabit terbongkar selepas mereka ditahan seorang pengawal keselamatan di Pos Pengawal Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, di sini, apabila cuba mencuri motosikal milik pelajar pada jam 2.30 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Gambang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu.

“Pengawal keselamatan menyerahkan kedua-dua suspek berusia 35 tahun bersama motosikal Yamaha Ego dan mereka dibawa ke Balai Polis Gambang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki suspek turut dilaporkan hilang di Jaya Gading, di sini dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mendapati kedua-dua suspek positif amphethamine.

“Siasatan mendapati suspek mengaku mencuri dua motosikal pelajar di UMP bulan lalu bersama rakan lain,” katanya.

Menurutnya, polis kini menjalankan operasi memburu rakan suspek yang dipercayai masih berada di bandar ini.

“Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek cuba mencuri motosikal di UMP namun kegiatan jenayah itu digagalkan pengawal keselamatan,” katanya.

Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");