Berita Hari Ini

Penekanan sama rata pemilikan rumah

JASIN – Kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan sama rata kepada aspek pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri ini tanpa mengambil kira kawasan atau lokasi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, komitmen kerajaan negeri ini jelas apabila pelbagai projek pembangunan perumahan dijalankan untuk rakyat sama ada di bandar, pinggir bandar, pekan atau kawasan pendalaman.

Menurutnya, ini juga adalah selari dengan usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf kehidupan penduduk negeri ini, termasuk mereka yang berpendapatan sederhana.

“Sasaran kita adalah menyediakan kediaman untuk rakyat Melaka kerana kita sedar penyediaan kemudahan perumahan merupakan sebahagian daripada agenda sosial kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya semasa majlis penyerahan kunci rumah teres dan rumah kedai fasa tiga di Bandar Jasin Bestari semalam.

Mengenai projek perumahan terbabit, Idris berkata, penjualan lebih 60 peratus daripada rumah yang ditawarkan kepada golongan Bumiputera telah membantu meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

Menurutnya, dasar memajukan tanah pertanian kepada kediaman membabitkan kuota 60 peratus Bumiputera dan 40 peratus kepada bukan Bumiputera telah banyak menyumbang kepada keadaan sebegini.

“Malahan untuk projek ini, 16 unit rumah bukan Bumiputera turut telah dibeli Bumiputera. Ini menunjukkan satu kejayaan kepada Pertam (Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka),” katanya.

Pada masa sama, menurut Idris, mereka yang belum memiliki rumah sendiri masih berpeluang berbuat demikian bilamana projek pangsapuri mampu milik milik Pertam turut dimajukan di kawasan ini.

Menawarkan 320 unit dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, setiap unit pangsapuri itu akan ditawarkan antara RM106,000 dan RM118,000.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");