Jenayah

Pengurus TNB Kota Bharu didakwa rasuah

KOTA BHARU: Pengurus Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kota Bharu yang didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, mengaku tidak bersalah atas 13 tuduhan membabitkan rasuah dan pengubahan wang haram bernilai RM125,200 pada tahun 2013 dan 2014.

Tertuduh, Arman Che Othman, 47, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Asnawi Abu Hanipah dan Shahidah Muslimah Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Arman didakwa terbabit pengubahan wang haram berjumlah RM64,200 di Public Bank Wakaf Siku di sini, pada September 2013 hingga 18 Oktober 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga hingga ke-13, tertuduh sebagai Pengurus TNB Tanah Merah didakwa memperoleh rasuah RM61,000 di Public Bank Tanah Merah, Wakaf Siku dan Kota Bharu antara Disember 2013 hingga Mei 2014.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, Mohd Asnawi memohon mahkamah mengenakan jaminan RM60,000 bagi keseluruhan pertuduhan, tetapi Shukri memohon jaminan dikenakan hanya RM30,000 memandangkan tertuduh masih bertugas, harta miliknya sudah disita dan kini bekerja di Kota Bharu.

Mahkamah mengenakan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");