Membawang Hari Ini

Percaturan Syamel

SEJAK menjadi naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), nama Syamel terus meniti puncak populariti.

Lebih-lebih lagi lagunya, Hidup Dalam Mati masih menjadi siulan ramai hingga ke hari ini.

Dek populariti dimilikinya juga, Syamel beberapa kali tercalon dalam anugerah berprestij menerusi kategori Artis Baru.

Terbaharu, penyanyi berusia 23 tahun ini tercalon menerusi dua kategori di Anugerah Industri Muzik Ke-22 (AIM22) menerusi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.

Menegaskan tidak pernah menjangkakan akan tercalon di dalam anugerah berprestij seperti ini, Syamel berkata, dia tidak meletak harapan tinggi untuk menang.

“Tidak dinafikan selepas keluar AF, saya sudah beberapa kali tercalon untuk kategori Artis Baru, tapi tak pernah menang pun (ketawa). Jadi kalau menang kali ini, ia akan menjadi anugerah pertama untuk saya selepas keluar AF.

“Apa pun saya tak meletakkan harapan tinggi kerana pesaing saya semua hebat-hebat belaka. Cuma kalau menang, saya anggap ia rezeki saya,” katanya.

Syamel berkata, sejak terlibat secara langsung di dalam industri, dia tidak meletakkan keutamaan untuk merebut anugerah, sebaliknya mahu sentiasa mencari pengalaman bagi memperbaiki diri.

“Saya sedar saya masih baru dan masih banyak yang perlu saya pelajari.

“Kalau diletakkan antara anugerah dan persembahan, saya pilih persembahan kerana saya boleh menimba pengalaman.

“Saya tak mahu orang kenal saya menerusi satu lagu saja,” jelasnya.

Berpegang kepada prinsip itu, Syamel kini mula mengorak langkah dan mempertaruhkan single keduanya, Lebih Sempurna.

Bertindak selaku penulis lirik dan komposer untuk lagu berkenaan, Syamel berkata, dia sekali lagi meminta bantuan dan nasihat daripada Edry Abdul Halim semasa membuat lagu berkenaan.

“Hidup Dalam Mati mengisahkan tentang seorang kekasih yang tinggalkan pasangan dia. Lebih Sempurna pula mengisahkan seorang yang berusaha menjadi lebih sempurna, tapi kekasih dia nak yang lebih sempurna.

“Walaupun sama-sama lagu sedih, tapi ia lagu berbeza.

“Sejujurnya, saya ada juga menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu berlainan genre. Cuma buat masa sekarang saya lebih selesa menghasilkan lagu yang orang lain suka dengar.

“Apa pun saya ada perancangan untuk menghasilkan lebih lagu kerana impian saya suatu hari nanti untuk mengadakan konsert.

“Jadi takkanlah saya mahu nyanyi satu genre lagu sahaja pada konsert berkenaan,” ujarnya.

Syamel berkata, masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya dalam soal penciptaan lagu dan dia juga mahu memberi fokus terhadap bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Tidak dinafikan ada yang berjumpa saya dan minta saya hasilkan lagu mengikut apa yang mereka mahu.

“Tapi saya belum sampai tahap itu lagi. Bila saya hasilkan lagu, apa yang keluar dari idea dan hati.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari lagi dan sebab itu saya belum bersedia untuk beralih ke bidang lain buat masa ini,” jelasnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");