Sukan Hari Ini

Pingat Khairul ‘dirampas’

Kuala Lumpur: Dua pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) yang dimenangi atlet angkat berat Pahang Khairul Anuar Mohamad dilucutkan selepas disahkan gagal ujian doping.

Pemenang kategori 94 kilogram itu enggan membuka sampel B sekali gus membolehkan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meneruskan prosedur untuk menentukan hukumannya.

“Kita akan cuba mengadakan mesyuarat pada penghujung bulan ini di Pulau Pinang semasa berlangsung kejohanan di sana. Dia akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Malah, terdapat kemungkinan jurulatih dari Pahang turut berdepan penggantungan dua hingga empat tahun namun ia berdasarkan tahap pembabitan dalam kes itu. Siasatan perlu dilakukan sama ada atlet berkenaan bersendirian mengambil bahan terlarang atau sebaliknya,” kata Setiausaha Kehormat PABM Pang Siew Huat, semalam.

Khairul Anuar berdepan penggantungan empat tahun jika mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) selepas ujian air kencingnya disahkan mengandungi Anabolic Steroid.

“Mungkin kerana keghairahan untuk menang mendorongnya mengambil bahan terlarang itu. Dia yang diserapkan tahun lalu dalam skuad elit digugurkan awal tahun ini kerana masalah disiplin,” tambahnya.

Perkembangan berkenaan membolehkan atlet Selangor Arief Azwan Zulkefli dinobatkan sebagai juara untuk kategori snatch serta clean and jerk.

Pada masa yang sama, PABM mengambil risiko apabila menghantar sehingga 50 atlet negara bersaing di Kejohanan Belia Dunia 2016 serta Kejohanan Elit, Belia dan Remaja Komanwel 2016 di Pulau Pinang yang bermula pada 18 Oktober nanti.

“Kita tidak membuat sebarang ujian doping dalaman kerana yakin atlet negara bersih. Ada antaranya sudah beberapa kali diuji namun negatif,” tambahnya.

Menurut peraturan, sekiranya terdapat lebih lima kes doping membabitkan atlet negara di pentas antarabangsa dalam tempoh setahun, PABM berdepan risiko penggantungan setahun dan denda AS$1 juta (RM4.1 juta).

Sehingga kini, tiga kes angkat berat membabitkan doping tetapi ia bukan tergolong dalam pertandingan antarabangsa.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");