Membawang Hari Ini

Redza kagum disiplin Beto

Mula aktif berlakon pada 2012, sebagai bintang muda, Redza Rosli, 25, juga mengagumi bakat pelakon senior yang dijadikan idola untuk berjaya dalam dunia seni.

Mula cuba berlakon melalui Kamelia Katrina pada 2009, Redza atau Ahmad Redza Rosli kali pertama menyaksikan lakonan Beto Kusyairy melalui filem Nur Kasih The Movie yang ditayangkan di pawagam pada 2011, dia sungguh kagum dan menyifatkannya sangat memberangsangkan.

Sejak itu dia terpaut hati dengan dunia lakonan dan menyimpan azam menjadi anak seni sebaik aktor serba boleh itu.

Popular melalui drama Seindah Takdir Cinta, Redza berkata, waktu itu Beto hanya memegang watak kecil sebagai Ustaz Wahid dalam babak cameo tetapi lakonan diberikan sangat memberangsangkan.

Dia berasakan sebagai pelakon, Beto antara yang mampu menjayakan pelbagai watak sama ada serius atau jenaka.

“Saya pernah menyaksikan dia bekerja dan ternyata kebagusan itu datang daripada disiplinnya yang sangat tinggi. Dia juga serius sewaktu bekerja,” katanya.

Kata Redza, kebanyakan pelakon berasakan untuk beraksi dalam cerita komedi mudah, tidak perlu terikat dengan skrip dan boleh menambah dialog sendiri. Apa yang penting, maksud dan jalan cerita tidak lari.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan Beto kerana dia benar-benar faham dan tahu kepentingan karakter dan skrip.

“Peluang bertemu depan mata dengan Beto datang apabila kami dipertemukan untuk bekerjasama dalam telefilem Hantu Blueray.

“Ketika itu saya tidak menyatakan yang saya meminati lakonannya. Malah sampai sekarang saya tidak pernah meluahkan perkara itu.

“Waktu itu mungkin situasinya tidak sesuai untuk saya meluahkan yang saya meminatinya kerana kami bertemu ketika sedang bekerja.

“Saya berasakan, apabila saya sendiri tidak meluahkan perkara itu kepadanya, membuatkan kami dapat bekerja secara profesional dan selesa,” katanya.

Kata Redza, kerana meminati bakat lakonan hebat Beto menyebabkan dia mengikuti segala perkembangan aktor itu.

“Saya tidak sahaja menyaksikan drama mahupun filem lakonannya tetapi juga teater lakonannya. Aksinya di pentas teater memang menakjubkan.

“Saya masih ingat lagi waktu itu Beto memegang watak si Bongkok dalam Bawang Putih Bawang Merah. Sewaktu dia bermonolog, bulu roma saya meremang menyaksikannya,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Beto, kata Redza, dia bagaimanapun tidaklah terlalu mengagungkan idolanya itu sebaliknya menegaskan hanya meminati bakat dimilki dan bagaimana bagusnya dia sewaktu bekerja.

Selepas melihat dan mengetahui cara kerja Beto, Redza menjadikan pencapaian dan kebolehan aktor itu sebagai penanda aras untuknya melakukan perkara sama.

“Sebagai orang baru, banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari. Dengan melihat pelakon senior dan bagus seperti Beto, ia boleh dijadikan sumber rujukan,” katanya.

Ternyata Redza antara pelakon muda yang menunjukkan minat mendalam mengenai dunia lakonan dan pembikinan.

Ia diakui pengarah Michael Ang yang mengetengahkan bakat Redza dalam drama Hidup. Katanya, kegigihan Redza mendalami ilmu lakonan dalam dilihat ketika itu.

Jelas Michael, sepanjang membintangi drama bawah arahannya, walaupun ada hari Redza tidak terbabit, dia tetap juga berada di lokasi untuk memerhati kerja-kerja pembikinan drama terbabit.

Redza akui untuk menjadi terbaik dia harus tahu dan belajar mengenai selok-belok pembikinan sesebuah karya.

“Saya percaya Beto juga mempunyai ilmu tinggi bukan sahaja dalam lakonan tetapi pembikinan sesebuah filem mahupun drama dibintangi sehingga dia mampu berkongsi idea mengenai karya yang sedang dihasilkan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");