Membawang Hari Ini

Rehat dulu buat seketika

Semalam, program realiti AF2016 baru sahaja melabuhkan tirainya dan serentak dengan itu, berakhir dua lagi program iaitu Diari AF2016 dan Terlajak AF.

Dengan pengakhiran itu, maka ia sekali gus menjadikan jadual pengacaranya, CK Faizal sedikit lengang.

Bagaimanapun, wajahnya masih menghiasi kaca TV menerusi program Trek Selebriti yang disiarkan setiap Isnin, program Hlive dan terbaru Trek Selebriti Khas Gegar Vaganza.

“Alhamdulillah, kini selesai salah satu tugasan saya sebagai pengacara bersama dalam rancangan Diari AF2016 dan Terlajak AF.

“Dalam Diari AF2016, saya mengacarakan secara bergilir bersama Haze dan Dahlia Shazwan, manakala program Terlajak AF pula saya menjadi pengacara bersama di samping Datuk Aliff Shukri,” katanya.

Menurut CK, usai dua program itu dia mampu menarik nafas lega apabila dapat berehat buat seketika.

“Kini saya boleh menumpukan perhatian terhadap program Hlive dan Trek Selebriti musim ketiga yang akan tamat tidak lama lagi.

“Kemungkinan besar, saya akan menarik diri daripada mengacara Trek Selebriti musim akan datang. Namun, tugasan saya masih diteruskan untuk program khas, Trek Selebriti Gegar Vaganza yang bermula malam esok (malam ini),” katanya.

Bercerita lanjut mengenai program Trek Selebriti Gegar Vaganza itu, CK berkata, ia bukan musim baru sebaliknya rancangan khas yang akan bersiaran selama 12 episod.

“Walaupun ia bukan musim baru Trek Selebriti, jika dilihat kepada jumlah episodnya, lebih kurang sama dengan satu musim,” katanya.

Tambah CK, sebaik sahaja program itu tamat dia berehat seketika sebelum memulakan satu projek baru menjelang tahun depan.

“Jika tiada aral melintang saya akan mengacarakan program baru yang masih berkonsep hiburan, cuma ada sedikit kelainan yang ditampilkan.

“Apabila terlalu kerap muncul di kaca TV, sebelum orang mula bercakap, lebih baik saya berehat seketika. Selain itu, saya ingin menggilap kembali skil pengacaraan,” katanya.

Ditanya apa rahsia kariernya semakin menyinar, CK berkata, dia sering menjadikan dua idolanya sebagai rujukan.

“Dalam bidang pengacaraan, saya meletakkan Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil sebagai rujukan. Saya banyak belajar daripadanya dan tidak dinafikan, ada beberapa elemen gaya pengacaraannya yang saya suntik dalam diri saya.

“Dalam bidang kewartawanan pula, saya menjadikan Suhaimi Sulaiman sebagai inspirasi. Penulisan skrip, cara bertutur, cara mendapatkan maklumat banyak saya rujuk daripadanya,” katanya.

Diminta memberikan komen apabila ramai menganggapnya cuba meniru Aznil ketika mengacara sesuatu program, CK berkata, dia melihat ia dari sudut positif.

“Kalau ada yang fikir gaya penyampaian saya sama seperti Pak Nil, itu saya anggap pujian dan berasa bangga. Namun, saya tidak meniru Pak Nil sebaliknya merujuk cara dia mengacara dan mengolah semula mengikut acuan saya.

“Kalau diamati betul-betul, semua program yang diacarakan, saya akan tampil dengan identiti tersendiri supaya ada perbezaan. Kalau boleh saya mahu sajikan kepelbagaian dalam semua program itu,” katanya yang berharap diberikan peluang mengacara program lebih besar selepas ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");