Membawang Hari Ini

Samudera Rindu angkat kisah realiti

KEMURUNGAN yang berlaku selepas bersalin, keguguran atau kelahiran mati sering didengari.

Atas faktor itulah mendorong penulis skrip, Ramlah Rashid menghasilkan sebuah kisah mengenai Postpartum Psikosis, sejenis penyakit kemurungan.

Drama bersiri Samudera Rindu terbitan Suhan Movies ini diarahkan Amor Rizan dan dijayakan pelakon hebat seperti Eyra Hazali, Dynas Mokhtar, Hafeez Mikail, Azhan Rani, Watie Sadali dan Alif Hadi.

Menurut Amor, penggambaran drama ini berlangsung selama dua bulan dari Jun hingga Ogos, melibatkan kawasan di sekitar Hulu Langat, Kuala Lumpur dan Port Dickson.

“Waktu awal penggambaran kebetulan waktu itu bulan puasa dan kebanyakan babak adalah babak berat yang memerlukan pelakon bermain dengan emosi dan air mata.

“Namun, semua pelakon memberikan kerjasama penuh walaupun semua sedang menjalani ibadah puasa waktu itu.

“Bagi saya, semua yang berlaku sepanjang penggambaran Samudera Rindu menjadi antara kenangan paling seronok kerana team Samudera Rindu bagaikan sebuah keluarga.

“Meskipun ada masalah timbul, kami sama-sama selesaikan secepat mungkin. Bagi saya, penyelesaian bersama itu lebih baik berbanding menentukan siapa yang bersalah.

“Malah sehingga sekarang pun, walaupun kami telah lama habis penggambaran, kami semua masih rancak berbual dalam grup WhatsApp Samudera Rindu,” katanya.

Tambah Amor, drama ini cukup menarik kerana memaparkan sebuah realiti hidup dialami sebilangan kecil keluarga masyarakat di Malaysia.

“Samudera Rindu menyelami kepayahan dan kesukaran keluarga yang mempunyai mempunyai ahli yang mengalami kemurungan atau bahasa kita, gila meroyan.

“Kisah tentang penyakit ini amat jarang dipertontonkan pada masyarakat, jadi melalui kisah ini, diharap penonton akan lebih memahami dan turut bersimpati pada golongan ini.

“Harapan saya semoga drama ini mampu membawa penonton berfikir lebih jauh tentang keputusan diri yang kadangkala kedengarannya remeh namun sebenarnya mungkin bakal membuatkan hidup sama ada penuh derita atau bahagia,” ujarnya.

Drama bersiri 20 episod ini mengisahkan hubungan seorang gadis muda, Atirah (Eyra Hazali) dengan ibunya, Nadia (Dynas Mokhtar) yang menghadapi kemurungan selepas kehilangan anak sulungnya.

Atirah ialah seorang gadis yang cantik dan pandai serta patuh pada orang tuanya. Walaupun dia tahu keadaan ibunya, dia tetap menghormati Nadia sebagai ibunya.

Zainal (Azhan Rani), ayahnya pula kerap tukar pekerjaan kerana keadaan isteri tercintanya, Nadia. Walaupun Zainal sedih melihat keadaan Nadia, tetapi dia tetap bahagia kerana merekalah ahli keluarga yang menjadi dorongannya.

Selepas berjaya menyambung pelajaran ke menara gading, Atirah mula penat melayan karenah ibunya. Dia juga malu untuk mengaku dengan kehadiran ibunya yang tidak waras itu. Apatah lagi Atirah mula berkawan dengan Eizaril, seorang pemuda yang baik hati.

Akhirnya, Nadia dihantarkan ke hospital untuk rawatan. Walaupun berat hati Zainal untuk berbuat demikian, tetapi ia adalah cara yang terbaik buat Nadia.

Pada masa sama, Zainal juga mula rapat dengan rakan sekerjanya, Siti (Watie Sadali) yang sentiasa memberi kegembiraan yang kian lama tidak diisi.

Adakah Nadia berjaya dirawat dengan sepenuhnya? Apakah bahagia akan tiba setelah Zainal, Nadia dan Atirah hidup menderita sekian lama?

Ikuti kisah Nadia, Atirah dan Zainal dalam Samudera Rindu pada setiap Selasa hingga Ahad jam 8.30 malam di slot Azalea, TV9.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");