Sukan Hari Ini

‘Saya perlu banyak buat pembaharuan’

Bachok: Tan Sri Annuar Musa semalam membayangkan kesediaannya untuk bertanding bagi merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu, beliau akan terlebih dulu melakukan beberapa penilaian dan jika bersesuaian, akan menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut kerusi nombor satu badan induk itu.

“Hari itu, perjuangan saya dalam FAM belum selesai kerana hanya sempat pegang jawatan (Timbalan Presiden) sekerat jalan saja sebelum digantung. Jadi banyak benda yang patut dibuat saya tidak buat.

“Seandainya terpilih memegang jawatan presiden, saya perlu banyak buat pembaharuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Jalinan Mesra sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Putri Saadong di Bukit Marak, di sini, kelmarin.

Kerusi Presiden FAM dikosongkan selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah enggan mempertahankan jawatan itu sebaik melepaskan jawatan itu pada 15 Ogos lalu.

Selain Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dua tokoh korporat negara, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Idris Jala antara calon dikaitkan bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Sebelum ini, Annuar pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM sebelum digantung pada 3 Mei 2012 selama dua tahun setengah kerana melanggari peraturan FAM mengikut Artikel 88.

Annuar berkata, jika tidak bertanding sekalipun, beliau mahu melihat pentadbiran FAM yang baru kelak perlu melakukan beberapa perubahan.

Katanya, badan induk itu mesti dipimpin secara demokratik dan bukannya mengikut rentak individu tertentu saja.

“Setiap persatuan juga perlu sentiasa mengutamakan kepentingan anggota kerana sejak menjadi ahli FAM, kami (persatuan negeri) tidak pernah dirujuk.

“Malah, presiden persatuan negeri pun susah hendak berjumpa Presiden FAM. Jadi, kepimpinan baharu perlu mengambil kira dan sentiasa menjaga kebajikan dan kepentingan ahli,” katanya.

Selain itu, Annuar berkata, perlu juga ada perubahan terhadap kaedah penganjuran Liga Malaysia (Liga-M), bersesuaian dengan standard diamalkan di seluruh dunia.

Katanya, Liga-M mesti diuruskan secara profesional oleh badan lain manakala FAM hanya menumpukan serta menguruskan pasukan nasional termasuk membuat program pembangunan dari segi bola sepak, kejurulatihan dan mutu pengadilan.

“Saya berharap masalah yang sering dihadapi ahli terutama ketiadaan sumber kewangan akan selesai segera. Jika tidak diselesaikan, pasukan kaya akan terus menjadi kuat manakala yang tiada dana, terus terumbang-ambing,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");