Membawang Hari Ini

Siapa paling handal di dapur

Teka-teki juara Hero Oven bakal diumumkan pada pusingan akhir program realiti itu yang akan bersiaran di TV3, jam 11.30 esok.

Pada episod final selama sejam itu, penonton akan menyaksikan empat finalis, Naem, Zam Akmal, Brynner dan Dausi berentap menyiapkan tiga jenis hidangan.

Juri tetap, Cef Fikree Aznan berkata, Hero Oven memperkenalkan konsep baru yang peserta adalah lelaki mahir dalam pembuatan kulinari.

“Semua peserta program ini berbakat dan program ini bagus kerana membuka minda masyarakat yang lelaki juga mahir dalam bidang pastri,” katanya.

Menurut Fikree, program 13 episod ini memaparkan penyediaan hida­ngan pastri terkenal dari negara di Asia dan Eropah.

“Peserta perlu menyediakan hidangan itu tanpa perlu menukarkan bentuk asalnya. Justeru, program ini digalakkan untuk terbitan musim kedua,” katanya.

Mengenai persembahan akhir, Fikree berkata, pengetahuan finalis diuji dengan menerapkan elemen pastri dalam pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut.

Selain Fikree, juri tetap lain Hero Oven adalah Cef Sarah Samsul Ariffin dari Singapura dan pelakon Kilafairy.

Pusingan akhir ini turut menampilkan juri khas, Cef Jasman Saidin, Cef Nazeri Ismail dan pengacara Jalan Jalan Cari Makan, Naz Rahman.

Semua berbakat membakar pastri

Empat jejaka berjaya ke final Hero Oven bukan calang-calang orang kerana masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang pastri dan kulinari.

Pernah bekerja di sebuah hotel di ibu kota di bahagian pembuatan pastri, Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli berkata penyertaan dalam program itu atas galakan keluarga.

“Sebenarnya, saya tidak menyangka berjaya ke final. Ibu dan adik-beradik pula bersemangat merakam dan mengedit rakaman video saya menyediakan kek Cokelat Lava,” katanya.

Jejaka berusia 25 tahun ini mengakui gementar setiap kali diberikan tugasan berikutan kepakarannya kini dalam bidang kulinari.

“Mujur saya sudah ada pengetahuan asas dalam pastri. Selain itu saya banyak membeli buku berkaitan pastri sebagai persediaan dalam setiap pusingan,” katanya.

Ketika ditemui di Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zam Akmal Abd Halim, 29, mendedahkan menyertai Hero Oven bagi menaikkan semangat keyakinan diri.

“Saya seorang pemalu namun tekanan serta perlu berhadapan dengan kamera mengubah sikap saya,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam kek tiga dimensi.

Zam yang juga pengusaha kedai kek mahu berkongsi ilmu dalam perhiasan kek dengan menulis buku selepas tamat program realiti ini.

Membantu ibunya membakar kek sejak usia 15 tahun, Brynner berkata program berkenaan memberi peluang kepadanya untuk menonjolkan bakat membuat pastri.

“Selama sembilan tahun mengendalikan kelas membuat pastri, ini masa sesuai untuk menguji bakat yang dipelajari daripada ibu selama ini. Tak sangka saya berjaya ke peringkat akhir,” katanya.

Memiliki diploma dalam Seni Kulinari, Daus atau nama sebenarnya Muhd Al Firdhausy Mohd Jaafar, 28, berkata, peluang menyertai program realiti sudah lama menjadi impiannya.

“Ada kalanya, saya membayangkan diri dalam program televisyen sebagai pengacara. Kini, impian itu tercapai dan berharap impian menjadi pengacara menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya yang ingin mengikuti jejak Datuk Cef Wan dan Datuk Aznil Nawawi.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");