Jenayah

Tali leher ‘khas’ dari Mumbai

Kuala Lumpur: Sorok dadah dalam kotak set tali leher sebelum diseludup melalui kargo udara dari Mumbai, India ke Malaysia.

Itu taktik terbaru sindiket dadah didalangi warganegara Nigeria yang dikesan mengubah destinasi asal dadah diseludup bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu berjaya ‘dihidu’ Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang menahan tujuh warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 25 hingga 38 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lebih enam kilogram dadah ganja dan syabu bernilai RM163,000 dirampas dalam serbuan di lima lokasi sekitar Selangor dan Kepong di sini.

“Dua sindiket dadah didalangi warga Nigeria berjaya ditumpaskan dalam operasi ini. Malah dadah yang diseludup melalui Mumbai, India, sangat jarang berlaku.

“Dalam serbuan pertama pada 30 September lalu, lima ahli sindiket membabitkan dua lelaki Nigeria, seorang lelaki Republic of Guinea, seorang lelaki Uganda dan seorang wanita tempatan ditahan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Menurutnya, tiga lagi ahli sindiket membabitkan dua lelaki Nigeria dan seorang wanita warganegara Indonesia ditahan di dua lokasi di Kepong dan Cyberjaya, Selangor dalam serbuan kedua Selasa lalu.

Beliau berkata, polis turut merampas tiga kenderaan model Proton Pesona, Perodua Viva dan Proton Wira Aeroback milik suspek dianggarkan bernilai RM48,000.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara JSJN dengan agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah,” katanya.

Katanya, seramai 264 warganegara Nigeria ditahan JSJN sejak tahun 2015 hingga 2 Oktober lalu kerana terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

“Manakala tangkapan warga asing sepanjang tahun ini berjumlah 6,138 individu dan 149 daripada mereka menggunakan pas pelajar,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");