Jenayah

Temui ajal selepas main bola

PASIR PUTEH – Seorang peserta kejohanan bola sepak veteran menemui ajal selepas rebah tiba-tiba ketika berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Zohor di Masjid Mukim Selising di sini, semalam.

Mohd Thahar Mohd Yusof, 44, yang sempat bermain dua perlawanan dalam Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Veteran Terbuka Kelantan itu di Padang Awam Selising itu dikatakan rebah kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Dia yang bekerja sebagai kerani di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu, tidak sedarkan diri dan dikejarkan orang ramai ke Pusat Kesihatan Selising, beberapa meter dari masjid untuk bantuan kecemasan.

Mohd Thahar yang berasal dari Kemumin, Kota Bharu kemudiannya disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Sepupunya, Nik Roshdi Nik Abdullah, 52, yang turut menyertai kejohanan itu berkata, dia dan Mohd Thahar berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.

“Saya dan arwah ambil keputusan ke masjid apabila mendengar bacaan al-Quran yang menandakan waktu Zohor hampir tiba. Selepas bersalam dengan seorang rakan, arwah tiba-tiba rebah.

“Saya terkejut dan memanggil orang ramai yang berada berdekatan untuk membantu membawanya ke klinik,” katanya.

Nik Roshdi yang merupakan adik kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, arwah begitu beria-ia untuk menyertai kejohanan itu dengan bersama pasukan MTZ.

Sejurus mendapat perkhabaran mengenai kematian itu, pihak penganjur mengambil keputusan memberhentikan kejohanan tersebut.

Dalam kejadian berasingan pula, seorang warga emas, Mek Nab Mohd Nor, 70, maut di tempat kejadian dipercayai dilanggar motosikal berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Mek Nab dikatakan berjalan kaki bersendirian untuk pulang ke rumahnya sebelum dirempuh sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung dua kes kematian membabitkan pemain bola sepak dan warga emas di Selising itu.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke HTA untuk bedah siasat dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");