Berita Hari Ini

Terima pakai tiga dokumen

Bangkok: Malaysia aktif dalam Dialog Kerjasama Asia (ACD) terutama sebagai penggerak utama dalam pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

Duta Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain berkata, ini terbukti dengan penubuhan Asia-e-University di Kuala Lumpur pada 2007 yang memudahkan kerjasama antara negara peserta dalam pendidikan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ACD Kedua di Hotel Shangri-La di sini, semalam.

Delegasi Malaysia diketuai Datuk Seri Najib Razak dalam majlis yang bermula hari ini hingga esok.

Perdana Menteri diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pegawai kanan Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri.

Nazirah berkata, bertemakan Satu Asia, Pelbagai Kekuatan, pemimpin dari 34 negara anggota meneliti kemajuan pelaksanaan hasil keputusan yang dicapai pada sidang kemuncak pertama di Kuwait pada 2012.

Beliau berkata, pemimpin berkenaan membincangkan dengan lebih lanjut hala tuju masa depan ACD.

“Mereka mengadakan mesyuarat (Isnin ini) dengan tokoh perniagaan dari negara peserta yang membentangkan dapatan Forum Perniagaan Berhubung Kait ACD berlangsung esok (hari ini).

“Malam esok (ini) Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin lain yang dihoskan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Cha-o-cha,” katanya.

Nazirah berkata, barisan pemimpin negara peserta dijangka menerima pakai tiga dokumen hasil dapatan ACD nanti iaitu Deklarasi Bangkok, Visi ACD untuk Kerjasama Asia 2030 dan Kenyataan ACD Mengenai Mencetus Semula Pertumbuhan Melalui Perkongsian Untuk Ketersambungan.

Beliau berkata, dokumen itu bermatlamat memperkukuhkan komitmen negara peserta ACD dalam memperkasa kerjasama dan perkongsian serta memanfaatkan kelebihan wilayah Asia supaya lebih efektif pada masa depan.

“Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada sesi plenari Isnin ini (esok),” katanya.

Menurut Nazirah, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin di luar sidang kemuncak untuk membincangkan isu serantau bagi kebaikan kedua-dua pihak.

“Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak ini menunjukkan komitmen Malaysia memperkasa ACD sebagai forum serantau,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");