Berita Hari Ini

Teroka potensi ekonomi Internet

Kuala Lumpur: Penggiat sektor digital tempatan disaran bekerjasama dengan komuniti teknologi global terutama dari China memandangkan ia berpotensi besar dalam bidang itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan teknologi Internet canggih dan berkembang pesat di China, negara itu juga banyak melahirkan syarikat teknologi besar mereka sendiri seperti Alibaba, Tencent dan Baidu.

Katanya, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2010 dan Malaysia pula kekal sebagai rakan perdagangan terbesar China sejak 2009.

“Kita perlu mampu menyediakan rakyat Malaysia dengan infrastruktur rantaian bertaraf dunia dan keterhubungan pantas serta pada masa sama memperkukuh pembangunan industri ke arah usaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi merealisasikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

“Potensi ini tiada hadnya. Semua ini memerlukan kesediaan dan kesiapsiagaan kita untuk meneroka peluang,” katanya dalam ucaptama Forum Ekonomi Digital Malaysia-China di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China, Tan Sri Ong Ka Ting dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, Abraham Liu Kang.

Perdana Menteri sebelum itu merasmikan Pusat Integrasi Penyelesaian Pelanggan dan Pengalaman Huawei (CSIC) baharu di Integra Tower @ the Intermark, Jalan Tun Razak, di sini, sempena ulang tahun ke-15 syarikat itu bertapak di Malaysia.

Najib berkata, ekonomi digital menyumbang 17.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu dan akan terus komited dalam bidang itu dengan menjadikan 2017 sebagai Tahun Ekonomi Internet.

Menurutnya, menerusi kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan sektor swasta, beliau berharap untuk melihat penubuhan sebuah kategori baharu lokasi yang diiktiraf sebagai Hab Digital Malaysia.

Katanya, universiti tempatan perlu melahirkan lebih ramai saintis dan profesional data bagi menampung permintaan sejuta pekerja digital pada 2025.

“Dengan unjuran 100 bilion sambungan yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang, teknologi digital akan memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi.

“Ternyata, ekonomi Internet sangat penting dalam memacu agenda ekonomi digital secara menyeluruh dengan sumbangannya kepada pertumbuhan negara menjadi lebih ketara.

“Justeru, setelah melihat dan mendengar bagaimana negara lain merebut peluang dalam ekonomi digital, sudah sewajarnyalah Malaysia turut serta,” katanya.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");