Membawang Hari Ini

Tiga Da’i merebut juara

Bermula dengan 11 peserta, Da’i Pendakwah Nusantara akhirnya sampai ke penghujungnya pada malam ini apabila hanya tiga peserta yang layak ke pentas akhir.

Bukan calang-calang anak muda, tiga peserta tersebut merupakan Da’i Niezal, seorang anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat kanser.

Dua lagi peserta akhir iaitu Saiful, 18, merupakan peserta paling muda tetapi berkarisma dan Da’i Nasrul, 20, pula dilihat sebagai peserta underdog yang membuka mata juri dengan intipati ceramahnya.

Untuk pentas akhir pada malam ini, bertemakan Selangkah Ke Syurga, Da’i Nasrul, Da’i Niezal dan Da’i Saiful perlu menyampaikan tazkirah selama lima minit pada pusingan pertama dengan gandingan bersama-sama selebriti popular seperti Khir Rahman.

Hanya dua finalis yang akan layak ke pusingan seterusnya yang mana mereka bakal berdepan dengan soalan spontan daripada penonton, sekali gus memberikan tazkirah ringkas selama lima minit.

Juara Da’i Pendakwah Nusantara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000, trofi, pakej umrah untuk dua orang dan produk Almas Beauty & Health. Sementara dua Da’i lagi akan menerima hadiah sagu hati berupa trofi, wang tunai sebanyak RM5,000, sebuah tablet dan produk Almas Beauty & Health.

Pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara akan bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2, pukul 9 malam di TV3. Kopitiam minggu ini mendekati tiga Da’i tersebut untuk berkongsi lebih dekat mengenai strategi persembahan pada malam ini.

Sensasi Bintang: Tahniah kepada anda bertiga yang berjaya melangkah kaki ke pentas akhir Da’i Pendakwah Nusantara. Adakah kalian menjangkakannya dan perasaan selepas dipilih?

NIEZAL: Memang gembira sangat sebab tak sangka dapat ke final. Pada saya, persaingan di pentas Da’i kali ini sangat sengit. Tambahan pula, saya dengan Da’i Nasrul ada sedikit persamaan, jadi tidak dapat meramalkan diri sendiri mampu ke final.

NASRUL: Alhamdulillah, gembira yang susah nak digambarkan apabila nama diumumkan sebagai salah seorang peserta yang berjaya ke final. Sejujurnya, saya hanya menjangkakan sampai minggu keempat atau kelima sahaja.

SAIFUL: Pada mulanya memang tak sangka berjaya ke final sebab saya peserta yang paling muda. Tambahan pula peserta-peserta lain lebih berusia dan mempunyai aliran ilmu agama yang lebih hebat daripada saya. Namun, alhamdulillah dengan izin Allah saya dapat ke pentas akhir.

Sepanjang perjalanan kalian di pentas Da’i Pendakwah Nusantara, apakah kesukaran yang dihadapi?

NIEZAL: Saya tahu program ini secara langsung. Maka, kalau kita silap sedikit pun berjuta penonton akan nampak kesalahan. Saya sedar pada peringkat awal, saya tidak begitu tenang dan santai dalam memberi ceramah. Malah, interaksi dengan penonton juga tiada disebabkan saya seorang pemalu. Maka disebabkan itu, nama saya pernah berada dalam tiga peserta yang paling rendah. Alhamdulillah, saya berjaya memecahkan tembok yang menghalang diri saya untuk maju ke hadapan.

NASRUL: Saya pernah cuba nasib masuk program Da’i sebelum ini, tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah, kali ini saya berjaya. Bagi saya, kalau ‘masuk’ televisyen, platform untuk berdakwah itu lagi luas. Bila orang sudah kenal apa yang kita kongsikan orang dapat terima.

SAIFUL: Ada orang luar kata yang saya hanya layak sampai minggu kedua atau ketiga sahaja. Mereka juga lihat saya tidak boleh pergi jauh disebabkan umur terlalu muda dan tidak banyak pengalaman berbanding yang lain. Namun, alhamdulillah saya buktikan kemampuan saya.

Apakah topik yang akan dibawa pada pentas akhir nanti dan apakah strategi kalian?

NIEZAL: Harapan saya agar persembahan terakhir ini berjaya meresap ke dalam jiwa penonton. Saya mendapat tajuk Wahai Anakku dan saya akan kaitkan tajuk itu dengan pengalaman sendiri yang mana kedua-dua ibu bapa saya meninggal disebabkan kanser. Saya akan kongsikan apakah pesanan terakhir arwah ibu kepada saya. Bukan mahu meraih simpati tetapi secara tidak langsung perkongsian itu nanti dapat beri pengajaran kepada penonton.

NASRUL: Saya mendapat tajuk Zuriat Syurga. Ia menceritakan tentang suami isteri yang kehilangan anak kecil. Saya mahu bawa kepada masyarakat kalau anak kita mati jangan bersedih lama kerana Allah akan gantikan yang lebih baik dan anak ini akan tunggu kita di syurga. Hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan dengan air mata.

SAIFUL: Sasaran saya satu sahaja. Persembahan itu biar dapat memberi kesan yang sangat mendalam kepada penonton. Itu yang lebih penting berbanding melakukan persembahan hebat dan menarik tetapi kosong. Tajuk saya pula adalah Maaf Yang Tertangguh. Tajuk ini agak berat kalau nak dibandingkan dengan yang lain. Secara umumnya, orang akan sedih jika berkait dengan kisah ibu bapa tetapi tajuk ini berkaitan dengan kita sebagai manusia. Sebagai contoh, kita buat salah pada orang tetapi tidak sempat minta maaf ketika orang itu meninggal.

Menjadi peserta pilihan ramai untuk bergelar juara apakah perasaan Niezal? Bagaimana pula kesan tersebut ke atas Nasrul dan Saiful?

NIEZAL: Pada pendapat saya, walaupun menjadi peserta pilihan, ia merupakan satu ancaman pada saya untuk tidak berada dalam zon selesa. Sudah tentu merebut gelaran juara itu adalah sasaran utama, tetapi apa yang penting adalah dakwah yang disampaikan nanti meresap ke jiwa penonton.

NASRUL: Juara di pentas, kita hanya dapat trofi dan duit. Benda itu sekejap sahaja, namun juara yang paling hebat adalah juara di hati penonton dan juga juara di medan akhirat.

SAIFUL: Kalau sebut tentang juara, saya pegang satu perkara iaitu Allah akan bagi pada siapa yang perlu. Walaupun dia hebat di atas pentas tetapi kalau Allah kata yang dia bukan juara itu saya kena terima.

Apakah rancangan kalian selepas berakhirnya program Da’i Pendakwah Nusantara?

NIEZAL: Kalau ada sebarang jemputan ceramah atau motivasi saya akan penuhi tuntutan tersebut. Bagi saya itu adalah salah satu cara nak tambah pengalaman. Dalam usia saya yang baru 19 tahun ini memang saya akui masih kurang pengalaman. Pada masa sama, saya tetap akan teruskan pengajian saya.

NASRUL: Alhamdulillah, saya dapat sambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam bidang Syariah di bawah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam pada bulan empat tahun depan. Pada masa senggang itu saya ada menerima beberapa jemputan ceramah di Pahang dan Melaka.

SAIFUL: Saya ada tiga rancangan. Pertama, saya akan meneruskan pengajian dalam kitab-kitab lama. Itu memang minat saya. Kedua, saya akan sambung belajar dalam bidang Psikologi dan Agama. Ketiga pula, saya ada sedikit bakat dalam bidang lakonan dan ada menerima tawaran berlakon daripada Datuk Rosyam Nor di bawah syarikatnya iaitu Suhan Movies.

Apakah tindakan kalian jika dinobatkan juara dan memenangi wang tunai RM50,000 berserta dua tiket umrah?

NIEZAL: Seandainya rezeki itu ada pada saya. Saya nak bawa ibu saudara iaitu Ramlah Din. Saya terhutang budi dengan dia kerana menjaga dua adik perempuan saya di Setiu, Terengganu. Kami empat beradik. Saya yang sulung. Kami dijaga berasingan. Duit RM50,000 pula mungkin akan disimpan untuk pengajian.

NASRUL: Kalau ditakdirkan menang, saya mahu bawa ibu dan bapa mengerjakan umrah. Sebahagian duit RM50,000 itu saya akan sedekahkan ke pusat pengajian saya di Pusat Pengajian al-Quran Al-Abqariy, Pasir Mas, Kelantan.

SAIFUL: Dua tiket umrah memang saya nak bawa mak dan ayah. Mereka teringin nak pergi tetapi tiada peluang.

-Kosmo!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");