Sukan Hari Ini

Timba ilmu berharga

Perth, Australia: “Kami berjaya pamerkan peningkatan dari perlawanan pertama hingga terakhir,” ujar penjaga gol skuad wanita negara, Mas Huzaimah Md Zain sebaik berakhirnya Liga Hoki Australia (AHL), semalam.

Selepas membantu pasukan itu menduduki tempat ketujuh daripada 10 pasukan, Mas Huzaimah mengakui dia serta rakan sudah mengutip pengalaman berharga untuk digunakan di Liga Hoki Dunia pada Januari depan.

“Pemain kami di sini semakin meningkat dari hari ke hari, kami banyak belajar dan memang sangat memerlukan perlawanan kompetitif seperti ini,” katanya yang berusia 25 tahun dan berasal dari Teluk Intan, Perak.

Jelasnya, sebagai seorang penjaga gol, dia dapat melihat secara keseluruhan dari bahagian bawah hingga ke serangan.

“Semua menunjukkan peningkatan, kami juga banyak belajar dari segi menutup dan melakukan serangan ke kubu lawan. Semuanya terhasil dengan baik apabila setiap pemain mengikut segala arahan yang diberikan jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah).

“Dari segi kelemahan yang perlu diperbaiki ialah kekuatan fizikal. Kalau mahu perkara ini meningkat saya rasa kami amat memerlukan perlawanan berkualiti seperti di AHL. AHL memang amat bagus kerana setiap pasukan yang mengambil bahagian bukan calang-calang,” katanya.

Katanya, ada beberapa pasukan yang menurunkan pemain kebangsaan dan pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Semua pasukan kalau dilihat mereka mempunyai kekuatan yang sama, cuma ada sebahagian saja pasukan yang mempunyai kekurangan,” katanya.

Ditanya sama ada misi peribadinya tercapai ketika beraksi di AHL, Mas Huzaimah berkata, dia cuba untuk mengutip pengalaman sebanyak mungkin kerana tidak mahu berada terlalu jauh dengan penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya.

“Penjaga gol kedua tidak boleh terlalu jauh dengan penjaga gol utama, kerana apa saja boleh berlaku dalam permainan hoki. Saya masih memerlukan banyak pengalaman untuk berada setanding dengan Farah,” katanya.

Farah Ayuni tidak bersama skuad negara pada AHL kerana masih mengikuti kursus latihan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");