Berita Hari Ini

Tubuh jawatankuasa pantau projek kerajaan

SHAH ALAM – Penubuhan jawatankuasa pengawasan dicadangkan untuk memantau projek-projek kerajaan bernilai RM500 juta ke atas bagi membanteras penyelewengan serta rasuah.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, jawatankuasa tersebut perlulah terdiri daripada badan profesional dan berintegriti.

“Setiap projek perlulah dibawa kepada jawatankuasa pengawasan untuk diluluskan. Dalam proses itu, kajian semula dilakukan untuk memastikan sama ada projek itu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Melalui jawatankuasa ini, pelbagai masalah atau agenda tersembunyi akan dapat dikesan lebih awal sebelum ia melarat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ar Ali Hamsa mencadangkan projek kerajaan bernilai RM500 juta dan ke atas perlu melibatkan penyertaan Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelak ketirisan dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam.

Akhbar berkata, cadangannya itu turut dipraktikkan di negara maju Eropah.

“Cadangan ini melibatkan kos yang efektif dan peranannya adalah untuk menyemak dan mengimbangi ketelusan kontrak. Pembahagian projek-projek hanya akan diberikan kepada syarikat-syarikat berkelayakan yang mempunyai rekod prestasi baik.

“Ahli jawatankuasa pengawasan itu juga harus mempunyai tempoh terhad bagi mengelakkan perlakuan berat sebelah atau penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Menurutnya, ketelusan kontrak adalah penting untuk memastikan pengurusannya berjalan dengan baik.

“Menurut laporan Assosiation Of Certified Fraud Examiners (CFE), sebanyak lima peratus pendapatan organisasi hilang akibat penipuan.

“Rakyat mahu melihat sama ada projek kerajaan mampu memberikan keuntungan kepada mereka. Jadi, manfaatkanlah wang rakyat dengan sebaiknya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");