Jenayah

Untung RM350 sehari jual air ketum

BESUT – Sepasang suami isteri dipercayai sanggup melakukan kerja menyalahi undang-undang dengan menjual air ketum demi meraih pendapatan lumayan setiap hari.

Pasangan muda berusia 29 dan 26 tahun itu ditahan di dalam sebuah bilik belakang kedai kopi di Jalan Keluang, Kampung Pangkalan Nyireh, dekat sini, pada jam 7 malam, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pasangan itu dipercayai mampu memperoleh pendapatan bersih RM350 dalam tempoh sehari atau dua hari, hasil jualan air ketum.

Menurutnya, pasangan itu dikatakan turut menjalankan perniagaan kedai kopi, sekadar untuk mengaburkan mata pihak berkuasa bagi menutup kegiatan mereka menjual air ketum.

“Bagaimanapun, kegiatan mereka dapat dihidu pihak polis selepas mendapat maklumat orang awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut,” katanya.

Menurut Mohd Zamri, pemeriksaan lanjut menemui satu bekas plastik mengandungi 50 bungkusan plastik cecair kehijauan disyaki air ketum, manakala pemeriksaan dalam sebuah kereta Proton Perdana milik suspek yang berada di belakang kedai menemui 300 bungkusan cecair sama.

“Polis menahan suspek lelaki beralamat di kampung itu dan isterinya dari sebuah tanah rancangan di Hulu Besut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan awal, suspek mengaku memperoleh bekalan air ketum daripada seorang lelaki dari Bintang, Setiu dengan harga RM2 sebungkus dan memperoleh untung RM1 sebungkus selepas menjual dengan harga RM3.

Bagaimanapun katanya, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod dadah atau jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");