Berita Hari Ini

YPM Ajak Pelbagai Pihak Kerjasama Laksana CSR

PETALING JAYA: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menawarkan kerjasama dengan pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor korporat dan pertubuhan tertentu bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, gesaan itu dibuat khusus untuk pihak yang mempunyai dana bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, tawaran itu bertujuan untuk memudahkan urusan pengagihan sumbangan kepada kumpulan sasar di kalangan golongan yang memerlukan.

“Program CSR sememangnya dilaksanakan YPM, terutama untuk membantu meningkatkan aspek pembelajaran sama ada penghuni rumah kebajikan seperti anak-anak yatim dan sekolah tahfiz, selain masyarakat miskin di pinggir serta luar bandar.

“Tidak ketinggalan komuniti Orang Asli di seluruh negara,” katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, saranan untuk bekerjasama dengan GLC dan korporat itu bagi memperluaskan skop bantuan kepada kumpulan sasar yang dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau turut berpendapat, menerusi usahasama yang berbentuk menang-menang ini, semua pihak dapat menyumbang tenaga dan pelaksanaan program CSR berjalan lancar.

“Kaedah yang disarankan ini juga dapat mengurangkan pertindihan penyaluran sumbangan kerana matlamat semua pihak terlibat adalah sama,” katanya.

Tambah Abdul Karim, pihaknya melaksanakan pelbagai corak bantuan bermula dari sumbangan peralatan sekolah, penyelenggaraan bangunan hingga ke pembiayaan tuisyen pelajar.

“Rasanya tidak jadi masalah untuk mana-mana pihak bekerjasama dengan YPM kerana kami mempunyai data untuk setiap kumpulan sasar supaya sumbangan dapat disalurkan kepada golongan yang tepat dan layak,” katanya.

Malahan, katanya, YPM juga telah mendapat kelulusan kerajaan untuk memohon sumbangan secara langsung daripada GLC untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, dengan kebenaran itu, diharap baki sasaran kutipan YPM pada 2016 sebanyak RM4.5 juta dapat dikumpul sebelum akhir tahun ini.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");