IPOH : Dianggarkan, lebih 5,000 tetamu yang terdiri dari pelbagai kaum hadir bagi memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak, malam tadi.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut yang di adakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Buntong di sini.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Baginda yang tiba kira-kira jam 8.45 malam telah diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan Exco kepimpinan negeri serta Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango.
Ketibaan Sultan Perak telah disambut dengan paluan ‘urimi mellam’ dan baginda turut beramah mesra dengan rakyat jelata.
Baginda juga turut memukul gendang di pentas utama sebagai simbolik perasmian majlis rumah terbuka berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dalam ucapannya berkata, sambutan Deepavali ini boleh menjadi medium untuk seluruh rakyat tanpa berbilang kaum di negara ini untuk mengeratkan hubungan antara kaum di negara ini.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu saling bantu-membantu dan berkongsi untuk mempertahankan kemakmuran negara ini.
“Buangkan segala sifat negatif yang ada dan jadikan negara ini terus maju dan membangun untuk geneasi yang akan datang,”katanya.
Selain persembahan tarian dan nyanyian dari pelbagai kaum, pengunjung turut dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisional masyarakat India.