KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan untuk berangkat bagi menyertai Larian Hari Keputeraan di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar hari ini.
Larian ini diadakan bersempena Hari Keputeraan baginda yang disambut pada 4 November lalu yang turut menghimpunkan penyertaan seramai 5,000 orang dari dalam dan luar negara.
Turut hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, isteri Datin Saripah Zukifli dan barisan uexco kerajaan negeri.
Larian hari ini melibatkan empat kategori acara yang dipertandingkan iaitu 15 kilometer, larian 10 kilometer, larian 7 kilometer dan kategori VVIP, 2 kilometer.
Baginda berkenan melepaskan peserta bagi acara pelepasan kategori pertama sekitar jam 6.51 pagi tadi.
Turut hadir pemenang-pemenang pingat Paralimpik Rio 2016 negara, iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (Emas – 100 meter), Abdul Latif Romly (Emas – Lompat Jauh) dan Siti Noor Radiah Ismail (Gangsa – Lompat Jauh) bagi memeriahkan lagi sambutan Larian Hari Keputeraan edisi tahun ini.
Orang ramai turut tidak melepaskan peluang bergambar bersama para atlet paralimpik tersebut.
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.