SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menunggu jawapan daripada pejabat Dewan Negeri Selangor bagi menetapkan masa untuk hadir memberi penerangan tentang tawaran RM2.9 billion kepada Splash pada 2009.
“Berlandaskan prinsip-prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti yang dipegang selama ini, saya setuju untuk hadir bagi memberi penerangan terperinci berkenaan tawaran-tawaran yang telah dibuat oleh kerajaan negeri sepanjang saya diamanahkan jawatan Menteri Besar.
“Pihak saya telah pun menghubungi pejabat Dewan Negeri Selangor untuk menetapkan masa bagi memberi laluan kepada saya memberi pencerahan di samping menjawab sebarang pertanyaan berkenaan isu ini secara komprehensif, berhemat dan matang,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai tawaran RM2.97 bilion untuk pengambilalihan Splash yang didakwa telah dipersetujui Abdul Khalid sebelumnya.
“Yang saya dedahkan dalam dewan ialah kerana hipokrasi Khalid Ibrahim. Di luar dia sebut RM250 juta, tapi dia sendiri yang menulis surat kepada Splash menawarkan RM2.9 bilion.
“Dia perlu bertanggung jawab ke atas apa yang telah diputuskan ketika pemerintahannya. Kenapa bohong kepada rakyat?” katanya kepada media di bangunan Dun Selangor.
Mohamed Azmin turut mendakwa, beliau mempunyai bukti yang menunjukkan tawaran RM2.97 bilion telah dibuat sebelum ini dengan persetujuan Splash.
Abdul Khalid menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan ia merupakan tuduhan liar dan palsu seolah-olah mencabar beliau untuk memberi penerangan tentang tawaran RM2.9 billion kepada Splash pada 2009.
“Ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan saya serta membuat tuduhan liar dan palsu bahawa saya juga pernah menawarkan pengambilalihan ekuiti kepada Splash melebihi RM2.9 billion.
“Menteri Besar Selangor juga mengeluarkan kenyataan akhbar seolah-olah mencabar saya untuk beri penerangan tentang tawaran RM2.9 billion kepada Splash pada 2009. Sekali lagi saya ulang bahawa cabaran itu dibuat tanpa menjawab persoalan pokok,” katanya.
-Sinar Harian