Perak Hari Ini

Air Pasang Besar : Penduduk Bagan Datoh Diminta Berjaga-Jaga

IPOH : Penduduk di Daerah Bagan Datoh diminta berjaga-jaga berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka akan berlaku mulai 14 November hingga 21 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin berkata, berdasarkan maklumat daripada agensi-agensi bertanggungjawab, paras air tertinggi diramalkan antara 2.8 meter hingga 3.5 meter.

Ujarnya, antara kawasan yang berisiko bagi Mukim Bagan Datoh ialah Kampung Bagan Ikan, Kampung Sungai Burung dan Kampung Pasang Api manakala pusat pemindahan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Betul.

Bagi mukim Rungkup pula, kawasan berisiko ialah Bagan Pasir Laut, Bagan Lipas, Bagan Sungai Belukang dan Bagan Sungai Tiang dan pusat pemindahan ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bagan Pasir Laut, SJKC Bagan Sungai Belukang dan SJKC Bagan Sungai Tiang.

Sementara itu, di Hutan Melintang kawasan yang berisiko ialah sepanjang Tebing Sungai Bernam, Sungai Manila, Sungai Samak, Bagan Lalang, Kampung Kota, Hutan Melintang dan Teluk Buloh manakala pusat pemindahan ialah Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Sungai Manila, SK Sungai Samak, DOR Bagan Lalang, DOR Kampung Kota, SK Hutan Melintang dan SMK Seri Perkasa.

Bagi mukim Teluk Bharu pula, kawasan berisiko ialah Kampung Teluk Bharu, Tapak Semenang dan Tebing Tebak manakala pusat pemindahan yang telah ditetapkan ialah SK Teluk Bharu, SK Tapak Semenang dan SK Sungai Dulang.

“Kerjasama semua pihak terutama ketua-ketua kampung dan ketua-ketua jabatan serta agensi berkaitan amat diharapkan untuk mengambil langkah awal.

“Selain itu, mereka boleh menasihati penduduk agar menyimpan dan menempatkan dokumen penting yang mudah dicapai untuk dibawa ke tempat selamat.

“Mereka juga perlu memaklumkan kepada ketua isi rumah supaya berpindah ke pusat pemindahan yang ditetapkan apabila diarah dan ketua jabatan peringkat daerah hendaklah sentiasa bersedia untuk bertindak sekiranya keadaan memerlukan,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan ketua-ketua kampung agar memaklumkan kepada Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datoh bagi melaksanakan proses pemindahan.

Hamzah berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak bomba dengan kerjasama JKKK diminta untuk membuat rondaan pemantauan setiap empat jam di kawasan-kawasan berisiko mulai 14 November ini.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hilir Perak hendaklah bersedia untuk membuka pusat pemindahan mulai 14 November 2016 sekiranya keadaan memerlukan,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");