Membawang Hari Ini

Alyah fokus seni, famili, bisnes

PERJUANGAN seni hampir 16 tahun ibarat membuka ruang buat Alyah, atau nama lengkapnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 35, untuk terus memacu perjalanan yang lebih gemilang buat profil seni dan perniagaannya pada tahun hadapan kelak.

Lalu, peluang yang hadir atas pelawaan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida untuk menjayakan kerjasama menerusi perniagaan kanta lekap ibarat membuka peluang yang lebih besar untuknya dalam meluaskan sisi perniagaan yang telah diceburinya lebih tiga tahun lalu.

“Terdahulu, saya berjinak-jinak dengan perniagaan secara atas talian dengan memperkenalkan tudung, turban dan pakaian Muslimah atas label sendiri, Gayalyah dan Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang cukup baik.

“Kemudian, saya berpeluang bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi, melancarkan lipstik dan terkini, saya mengambil langkah berani dengan memperkenalkan kanta lekap sendiri iaitu Alyahlensxdatovida.

“Ia hadir dalam lima varian warna dan bagi peminat yang mahu memilikinya, boleh ke akaun IG saya iaitu @alyah81 atau @alyah4vida untuk informasi lanjut.

“Ya, saya anggap ini sebagai satu permulaan bisnes yang baik buat diri saya bagi tahun hadapan. Harap ia berjalan dengan sukses seperti yang diharap-harapkan.

“Terima kasih buat peminat yang sentiasa menyokong,” tambahnya yang turut memberitahu, visinya pada tahun 2017 nanti mahu menjalankan perniagaan yang lebih stabil selain mahu memperkenalkan kualiti muzik yang lebih matang.

Teruja lagu baru

Berkongsi mengenai skop nyanyiannya pula, penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor ini mengakui tidak sabar untuk melancarkan single terkininya berjudul Menunggu Bayangmu tidak lama lagi.

Jelas Alyah, kesempatannya bekerjasama dengan suami menjadi satu titik aras yang lebih baik, demi memastikan seleksi lagu-lagu kekal relevan dan menjadi siulan peminat.

“Enam tahun saya menantikan momen bekerja dengan beliau. Sebelum ini, saya ada meminta pandangan darinya juga.

“Cuma untuk lagu baru ini, saya tidak mahu ambil mudah untuk dapatkan khidmat dari suami kerana saya seorang yang lebih gemar buktikan dahulu kesungguhan saya dalam nyanyian terlebih dahulu sebelum mendapat pandangan darinya.

“Syukur, semuanya berjalan lancar meski suami agak cerewet. Apa pun, kerjasama dengannya ibarat mengimbas kembali kenangan sewaktu mula-mula bergelar penyanyi,” terang Alyah panjang lebar.

Ditanya mengenai apakah kelainan Menunggu Bayangmu berbanding lagu-lagu baladanya sebelum ini, penyanyi yang dilahirkan pada 3 Januari 1981 ini menambah, perbezaannya adalah dari aspek pembikinan lagu tersebut yang mengambil tempoh yang agak lama untuk disiapkan.

“Rentaknya masih kekal sama, iaitu balada. Cuma bezanya di sini ialah soal proses untuk menyiapkan lagu itu. Bukan bermakna terlalu sukar, tetapi saya mencari lirik yang benar-benar ‘serasi’ dengan melodi Menunggu Bayangmu. Saya tidak mahu tergopoh-gopoh kerana saya percaya, untuk hasilkan sesuatu yang baik, ia perlu ada satu jangka masa sesuai agar kita boleh lakukannya dengan terancang.

“Semoga lagu yang akan menjadi runut bunyi untuk drama Lara Cinta Ameena di TV3 ini nanti akan mendapat impak yang bagus dan digemari ramai,” harapnya.

Sementara itu, lagunya yang berjudul Engkau Milikku pula bakal dimainkan sebagai lagu tema untuk sebuah filem lakonan Remy Ishak yang bakal ditayangkan tahun hadapan.

“Sokongan dan kecintaan para peminat terhadap lagu-lagu saya sebelum ini menjadi penguat semangat untuk terus berkarya dalam menghasilkan sebuah produk muzik yang bagus dan berkualiti.

“Meskipun pada tahun depan saya sudah mengambil keputusan untuk memberi ruang masa lebih terhadap keluarga dan bisnes, namun itu tidak bermakna saya mahu menokhtahkan kerjaya nyanyian begitu sahaja.

“Ia adalah satu kecintaan yang tidak boleh saya bandingkan dengan apa-apa dan pastinya, sokongan yang diraih dari keluarga, sahabat dan peminat menjadi nadi buat saya untuk lakukan yang terbaik dalam apa juga perkara, insya-ALLAH,” akhiri Alyah.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");