Jenayah

Amaran terakhir kepada penganjur BERSIH Sabah

KOTA KINABALU: Polis sekali lagi memberi amaran kepada penganjur perhimpunan BERSIH Sabah supaya tidak meneruskan perarakan atau protes jalanan yang dirancang kumpulan itu esok.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pihaknya sedia mengambil tindakan termasuk menggunakan kekerasan munasabah terhadap peserta.

“Ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 4 (2) (C) Akta Perhimpunan Aman 2012. “Mengikut Seksyen ini, polis ada kuasa menyuraikan perarakan menggunakan kekerasan munasabah.

“Kita tidak mahu sampai menggunakan kekerasan, maka saya menasihatkan orang awam jangan menghadirinya kerana membahayakan diri sendiri.

“Saya juga memberi amaran kepada penganjur supaya tidak meneruskan perhimpunan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chandra berkata, polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan akan mengadakan sekatan jalan di beberapa lokasi.

Berdasarkan maklumat, katanya, kumpulan BERSIH Sabah merancang berkumpul di tiga lokasi iaitu hadapan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Karamunsing, Restoran Sempelang, Sembulan dan Taman Fortuna di Jalan Penampang.

“Kita difahamkan peserta yang berkumpul di LHDN dan Sembulan akan berarak kira-kira dua kilometer ke Taman Ujana Rimba Tropika.

“Tindakan itu boleh menjejaskan lalu lintas dan ketenteraman awam,” katanya.

Difahamkan, perhimpunan BERSIH Sabah bermula jam 1.30 tengah hari esok.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");