Membawang Hari Ini

Anatomi sebar mesej positif

BERTITIK tolak daripada album pertama Aku.Muzik.Kamu kira-kira sedekad lalu, Faizal Tahir tidak menoleh lagi dalam memperkukuhkan namanya dalam industri muzik.

Kehebatan Faizal memang tidak boleh dinafikan lagi apabila lagu-lagunya seperti Mahakarya Cinta, Sampai Syurga dan Selamat Malam sangat diminati kebanyakan pendengar muzik tempatan.

Kali terakhir albumnya yang berjudul Faizal Tahir dikeluarkan pada 2013, penyanyi ini kembali dengan album terbaharu, Anatomi.

Menurut Faizal, Anatomi adalah sesuatu pelantun berbeza berbanding apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Daripada kulit album sehinggalah kepada penciptaan lagu, saya begitu teliti dalam penghasilan album kali ini.

“Bahkan, untuk mencipta kulit album Anatomi seperti yang sudah terhasil, ia mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk disiapkan,” katanya semasa pelancaran album Anatomi, baru-baru ini.

Apabila dia memuat naik kulit album Anatomi di akaun Instagramnya, banyak komen yang diterima daripada netizen, sama ada yang berbentuk pujian dan kritikan.

Pun begitu, Faizal menerima kritikan yang diterimanya dan tidak sesekali menyalahkan peminatnya berhubung hal tersebut.

“Mungkin ada yang cakap, album ini ada unsur iluminati berdasarkan kulit album tersebut. Tidak mengapa kerana saya tidak marah kepada mereka yang mempunyai tanggapan sebegitu.

“Apa yang boleh saya katakan, setiap lukisan yang ada pada kulit Anatomi mewakili diri saya. Misalnya, lukisan dua kuda mewakili bulan yang saya lahir.

“Lukisan arnab pula adalah haiwan yang selalu berada dalam imaginasi saya. Jadi, saya rasa kulit album ini tidak ada kontroversi yang berbangkit,” jelasnya.

Lagu yang terkandung di dalam album tersebut adalah cerita dirinya yang mahu disampaikan kepada masyarakat, namun dengan cara yang positif.

Katanya, dia mahu menyampaikan mesej positif melalui karyanya, dengan harapan dapat menanam pemikiran positif kepada masyarakat.

“Misalnya, lagu Sejati adalah kisah hubungan saya dengan ALLAH SWT manakala Sayang adalah lontaran kasih sayang kepada isteri dan anak-anak saya.

“Jadi, lagu saya bukan sekadar hiburan semata-mata. Saya mahu menyampaikan sesuatu yang bermakna melalui cabang yang saya ceburi ini,” ujarnya.

Faizal tidak meletakkan apa-apa sasaran terhadap Anatomi namun, dia berharap masyarakat mendapat input positif melaluinya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");