IPOH : Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menolak tanggapan pembangkang yang menyifatkan Bajet 2017 Negeri Perak tidak memikirkan kepentingan rakyat atas empat alasan.
“Mereka (pembangkang) tidak membaca keseluruhan (Bajet 2017 Negeri Perak), mereka suka timbulkan kekeliruan, mereka suka memanipulasi dan mereka juga mengharapkan rakyat tidak membaca serta percaya apa yang mereka cakap.
“Sedangkan bajet ini kalau diperhalusi satu persatu, kita memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat di mana kita mengambil kira dari segi kedudukan rakyat pada hari ini,”katanya dalam sidang media yang diadakan selepas membentangkan Bajet 2017 Negeri Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Ujarnya lagi, bajet yang dibentangkan kali ini berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat merangkumi pelbagai aspek.
“Umpamanya, adakah menyediakan rumah kos rendah dan rumah mampu milik itu bukan memikirkan kesejahteraan rakyat? Apakah tindakan kita menambahkan lagi bantuan-bantuan makanan kepada rakyat bukan memikirkan tentang kos sara hidup rakyat?
“Adakah kita menambah dua buah lori untuk membolehkan lori-lori itu menjual barangan dapur ke seluruh negeri bukan untuk keperluan rakyat?,”soalnya.
Terdahulu pihak pembangkang hari ini telah menyifatkan pembentangan bajet yang dibentangkan Zambry adalah yang paling teruk dalam Dewan Undangan Negeri Perak.
“Mereka (pembangkang) akan terus hidup dalam penafian. Mereka tidak akan mengatakan bajet ini bajet yang baik.
“Kerana kalau mereka kata ini bajet yang baik, bermakna mereka mengaku kalah,”katanya.
Terdahulu, Zambry membentangkan Bajet 2017 bagi negeri ini berjumlah RM1.07 bilion.
Peruntukan itu mengambil kira unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan serta Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan, Bajet Negeri Perak 2017 diunjurkan bajet defisit sebanyak RM1.29 juta.