Jenayah

Banjir: Mangsa dipindahkan meningkat 316 di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 316 orang daripada 79 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir di daerah ini dan Kemaman setakat jam 8 pagi ini apabila rumah mereka dinaiki air.

Ia membabitkan 13 orang daripada lima keluarga di daerah ini dan 303 orang daripada 66 keluarga di Kemaman.

Sehingga tengah malam tadi, seramai 96 orang daripada 21 keluarga di kedua-dua daerah itu dipindahkan ke pusat pemindahan.

Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat negeri, Rusmi Mahmood, berkata dua pusat pemindahan dibuka sejak malam tadi untuk menempatkan mangsa banjir di daerah ini.

“Pusat pemindahan Balai Raya Kampung Gong Tok Nasek di sini, menempatkan enam orang daripada dua keluarga manakala Sekolah Kebangsaan Chabang menempatkan tujuh mangsa daripada tiga keluarga,” katanya.

Rusmi berkata, seramai 256 mangsa daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik, Kemaman.

“Seramai 42 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, manakala lima mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Titian Baru,” katanya.

Semalam Daerah Kemaman dan Kuala Terengganu dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebih lapan jam mengakibatkan jalan raya dilimpahi air dan rumah di kawasan rendah dinaiki air.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");